Tuesday, October 28, 2014

Murah atau mahal?

Teks: Aishah Hussein

Alhamdulillah, 4 hari lagi menuju November.  Selepas itu 2 bulan akan cepat sahaja berlalu menuju tahun baru 2015 pula.  Walaupun masih belum sampai 2 tahun saya berhenti kerja tetapi saya rasa seperti sudah lama.  Bukan kerana bosan duduk di rumah tetapi banyak benda yang saya tidak dapat buat sebelum ini kerana kesibukan dengan tugas di pejabat sudah dapat saya lakukan kini.

Ketika saya mula-mula berhenti kerja dulu, saya memang hendak berehat dulu sambil-sambil buat bisnes online.  "Baking" saya sudah tolak tepi hanya sebagai hobi sahaja.  Ambil tempahan pun hanya suka-suka.  Minat masih ada tetapi kesihatan tidak mengizinkan.  Alhamdulillah, saya ditemukan dengan rawatan alternatif Ceragem dan juga dari pengamalan pemakanan sunnah, lutut saya juga sudah kembali pulih.  Walau bukan 100% tetapi tidak seteruk dulu lagi.

Apabila nikmat kesihatan Allah beri kembali, saya sudah mula kembali ke hobi "membakar" saya.  Betapa saya sudah jauh ketinggalan dengan perkembangan dunia "baking".  Banyak resipi-resipi yang baru bagi saya tetapi sebenarnya sudah lama ada di pasaran.  Bermula bulan lepas, saya sudah mula menambah ilmu dan mencyba beberapa koleksi resipi baru.  Mungkin bukan untuk jual secara besar-besaran tetapi ilmu yang saya pelajari adalah untuk anak cucu saya nanti inshallah.

Ketika membuat kiraan untuk meletakkan harga, saya dapati harga yang saya buat sebelum ini terlalu jauh murah dari harga-harga di pasaran.  Ketika saya pergi ke bengkel akaun anjuran ABDR, trainer ada menyebut setiap sen perlu dikira dan dimasukkan ke dalam modal.  Jangan terkejut bila hujung bulan kita dapati jualan banyak tapi untung kosong, silap-silap rugi lagi.  Lebih-lebih lagi sekarang, dengan harga minyak naik, setiap penghantaran produk perlu masukkan caj penghantaran.  Kalau tidak mahu buat penghantaran, minta pelanggan datang ambil di rumah.  Nama pun "homebased business", bisnes dari rumah.


Kembali kepada harga produk, pelanggan akan buat perbandingan setiap kali membeli produk.  Contoh:
 Congo Bar si A dengan si B.  Kenapa harga A lagi mahal dari B.
Pelanggan yang tidak tahu atau tidak mahu ambil tahu tentang harga bahan mentah produk akan mempersoalkan kenapa si A jual mahal, kenapa si B jual murah.

Sebagai seorang pelanggan, kita patut tahu dan boleh bertanya kepada si A, apa brand yang dia gunakan.  Mungkin si A guna Butter Asli dan si B guna Butter campuran.  Itu sudah ada banyak perbezaan harga.  Chocolate chip yang digunakan si A juga dari jenama yang mahal seperti hershey bukan chocolate chip yang murah.

Sebagai pembeli, kita ada hak untuk membuat pilihan.  Jika mahu produk yang sedap dan ada bajet lebih boleh beli dari A tetapi jika tidak kisah dengan rasa atau bajet kurang boleh beli dari B.  Jangan banding-bandingkan harga secara tidak waras dan mengutuk dan memburuk-burukkan penjual.

Sebagai penjual pula, kita pula harus menerangkan kepada pembeli.  Tidak perlu memberitahu harga tetapi cukup sekadar menerangkan yang kami menggunakan bahan mentah dari jenama yang bermutu dan berjenama sekian-sekian.

Kedua-dua pihak harus bertenang dan bersikap secara terbuka.  Baru proses jualbeli berjalan dengan berkat.

Saya menulis hanya dari pengamatan saya di dinding-dinding fb dan juga insta.  Banyak keluhan dari penjual yang dikutuk dan dimarah kerana harga.  Saya tumpang simpati kepada mereka.  Kita bukan selama-lamanya menjadi penjual dan bukan setiap masa menjadi pembeli.  Ada ketikanya kita akan berada di kedudukan yang berbeza.  Jadi bertimbangrasa apabila kita berada di setiap kedudukan.

1 comment:

  1. Salam Aisyah.Macamana dengan lutut Aisyah?Harap semakin baik .Ini pertama kali saya singgah di blog Aisyah >sudilah kiranya Aisyah berkunjung ke blog saya.Insya Allh boleh berhubung kenalan dan berkongsi penyelesaian lutu Aisyah tu pula.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...