Wednesday, May 1, 2013

Nasi Goreng hidangan sepanjang hari

Teks: Aishah Hussein
Foto: Carian Google

Nasi goreng adalah hidangan yang dimakan tidak mengira masa.  Saya sendiri juga menghidangkan nasi goreng untuk makan malam di waktu sampai lambat ke rumah dari ofis.  Bukan apa, senang untuk dimasak.  Tidak perlu lauk-lauk lain kerana lauk-lauk seperti ayam, udang atau telur boleh terus dimasukkan sekali ke dalam nasi goreng.

Di kedai-kedai yang menjual sarapan,  nasi goreng selalunya digoreng kosong kerana selalunya ada lauk-pauk yang dijual untuk digandingkan bersama nasi lemak boleh dimakan bersama dengan nasi goreng juga.


Untuk hidangan waktu tengahari atau pun malam, kedai-kedai makan selalunya menawarkan nasi goreng yang istimewa sedikit.  Hidangan yang ditempah begini selalunya dimasukkan sayur-sayura seperti, bunga kobis, kangkung, sayur campur atau pun cendawan.

Selalunya di dalamnya sudah ada lauk seperti daging, atau ayam dan ada juga boleh pilihan untuk campuran makanan laut jika suka.  Biasanya harga untuk pilihan bersama makanan laut lebih mahal sedikit.  Jika Nasi goreng bersama ayam adalah RM4.00, untuk makanan laut menjadi RM5.00.

Jenis-jenis Nasi Goreng yang ada di pasaran:
1.  Nasi Goreng USA
2. Nasi Goreng Ladna
3. Nasi Goreng Cina
4. Nasi Goreng Thai
5. Nasi Goreng Kampung
6. Nasi Goreng Pattaya
7. Nasi Goreng Cendawan
8. Nasi Goreng Ayam Kunyit
9.  Nasi Goreng Lada Hitam dan lain-lain lagi.

Nasi Goreng Pattaya








Nasi Goreng Kampong
Nasi Goreng Ladna

















Foto:
flickr.com

lyniey.blogspot.com

Osteoarthritis, hanya satu ujian - 02.04.13

Teks: Aishah Hussein
Foto: Carian Google

Tiga tahun dulu sewaktu doktor mendiagnos penyakit yang saya hidapi itu adalah Osteoartritis(OA), saya mencari di internet segala informasi yang berkaitan dengan penyakit itu.

Apa itu osteoarthritis.


Tak banyak yang boleh dicari di dalam artikel bahasa malaysia.  Apa yang saya temui sedikit sebanyak mampu memberi kefahaman kepada saya tentang penyakit ini.

Osteoartritis adalah keradangan sendi yang berpunca daripada kemerosotan rawan.  Rawan adalah bahan protein yang berfungsi sebagai "kusyen" di antara tulang-tulang sendi. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh proses penuaan, keturunan, dan kecederaan dari trauma atau penyakit.  Simptom paling biasa bagi penyakit osteoartritis adalah kesakitan pada sendi yang terjejas selepas digunakan berulang-ulang.
     
Tiada ujian darah diperlukan untuk mendiagnosis penyakit osteoartritis, walaubagaimanapun, ujian darah diperlukan untuk menentukan samada simptom yang ditunjukkan adalah bukan disebabkan oleh penyakit-penyakit lain.  Penyakit yang lebih kurang simptom dengan osteoarthritis adalah rheumatoid arthritis dan gout.

Matlamat rawatan osteoartritis adalah untuk mengurangkan sakit sendi dan keradangan sambil meningkatkan dan mengekalkan fungsi sendi.

Rawatan terakhir saya telah pun berakhir.  Suntikan cecair ke dalam lutut saya telah dilakukan pada 2 April lalu dan diikuti dengan rawatan fisioterapi. (terima kasih kepada sahabat saya yang menemani saya waktu itu kerana en suami berada di luar daerah).


Rawatan yang saya cuba bukan terhad kepada rawatan dari doktor sahaja.  Saya juga mencuba rawatan alternatif.  Baik dari segi pemakanan dan juga rawatan dari ustaz.  Kita hanya mencuba dan mencari rawatan yang serasi.  Sambil memohon petunjuk dari Allah rawatan mana yang serasi yang dapat menyembuhkan penyakit kita.  Selebihnya kita berserah pada Allah.

Alhamdulillah, hari ini lutut saya terasa kurang sakit.  Apa yang saya lakukan adalah beriadah dengan cara yang disarankan oleh ahli fisioterapi.  Mengambil makanan sunnah iaitu habbatus sauda dan madu serta supplemen tambahan dari doktor.

Tidak lupa juga berdoa moga diberi kesembuhan dan juga kesihatan yang baik secara keseluruhannya.  Jika nak dibandingkan sakit lutut saya dengan penyakit orang lain yang lagi teruk dari saya, apalah sangat ujian yang Allah beri kepada saya yang kerdil ini.  Saya sepatunya lebih bersyukur di atas ujian ini ( Teringat pula pada buku Prof Kamil bertajuk "Bersyukur Saat diuji").  Terima kasih Allah di atas pemberian Mu ini.

Moga Allah mengampuni saya di atas keluhan saya sebelum-sebelum ini.















Dapatkan produk-produk sunnah di kedai kami http://www.facebook.com/KedaiProdukSunnahOnline

Tuesday, April 30, 2013

Perpisahan - 09.04.13

Teks: Aishah Hussein

Perpisahan bukan suatu yang disukai oleh sesiapa.  Tetapi setiap perjumpaan ada perpisahan.  Sebenarnya sejak seminggu sebelum tarikh akhir bekerja, sahabat-sahabat rapat tidak henti-henti belanja makan.  Syukur di atas rezeki dan nikmat yang Allah kurniakan.  Persahabatan dan juga makanan.

Hari kedua selepas berhenti, mereka di jabatan pula mengadakan jamuan perpisahan buat saya.  Moga ikatan persahabatan terus kekal.

Antara gambar kenangan bersama sahabat-sahabat.




Kanser menyerang lagi - 24.03.13

Teks: Aishah Hussein
Foto: satuharisatusunnah

Jika di dalam entri Mencari RedhaMu saya menceritakan kisah teman rapat saya yang mengidap kanser.

Pada Disember 2012, dikhabarkan berita sedih tentang pengasuh anak-anak yang didiagnos dengan penyakit kanser rahim tahap 3.  Kak Nor  juga seorang yang tabah, begitu redha menerima berita dari doktor.

Setelah dua tiga kali berdepan dengan berita sebegini, apa yang saya boleh katakan kepada dia ialah saya hanya mampu berdoa.  Perkataan sabar tidak begitu sesuai untuk saya keluarkan kerana saya tahu orang yang baru sahaja diuji tidak akan dapat menerima perkataan tersebut.

Petang-petang dikala saya menuggu anak pulang, saya akan berborak dengan dia.  Masih mampu bercerita tentang bangun malam bertahajjud, tentang keluarga seperti yang biasa kami lakukan bila ada kelapangan di waktu petang.

Pada hujung bulan Januari, selesai pembedahan pembuangan rahim, rupanya kanser tersebut telah melarat ke sebbahagian usus.  Dan kanser tersebut sudah mencapai tahap 4.

Kali terakhir saya berjumpa dia di hospital, dua hari selepas pembedahan. Alhamdulillah, walaupun suara tidak begitu kedengaran tetapi dia kelihatan kuat.  Selama 2 minggu, saya tidak berjumpa dia,  tidak mahu mengganggu dia berehat. 

Siapa sangka malam 14 Februari 2013, saya mendapat panggilan dari seorang sahabat yang juga pernah menghantar anaknya ke rumah kakak pengasuh.  Beliau mengkhabarkan berita bahawa Kak Nor telah meninggal dunia.

Kami memang sangat terkejut kerana menyangka Kak Nor sudah sihat.  Menurut anak saudaranya, beliau meninggal selepas sehari menjalani kimoterapi.  Menurut kata doktor, dia bukan meninggal kerana rawatan kimo tersebut tetapi kerana serangan sakit jantung akibat stres.  Tetapi semua itu adalah penyebab sahaja kerana ajal maut itu sudah ditentukan oleh Allah.

Saya kehilangan seorang pengasuh, seorang sahabat dan juga seorang kakak.  Jasa beliau terlalu banyak dan tidak mungkin terbalas oleh saya dan keluarga.  Mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat oleh Allah.





Monday, April 29, 2013

Dah besar baru kena serangan asma

Teks: Aishah Hussein

Hari ini sibuk mengemaskini data produk online.  Angah juga sudah semakin sihat, cuma batuknya masih kuat.  Soalan pertama setiap doktor yang kami jumpa ialah, "kenapa ye tiba-tiba kena serangan asma.  Tak pernah kena macam ni"?

Terus teringat kepada si kucing Hikari yang selalu menjadi teman main dan tidur anak-anak di rumah ni.  Itulah puncanya.  Jadi hari ini Hikari mengiau di luar aje.  Tidak dibenarkan masuk ke rumah.  Kesian pulak dia.  Apa nak buat demi kesihatan anak-anak juga. Tengoklah berapa hari anak-anak dapat tahan perasan kesian mereka itu.

Minyak Habbatus Sauda Minsyam

Jus Delima




Dapatkan produk-produk sunnah di kedai Produk Sunnah online kami.



Sup Ikan Merah

Teks: Aishah Hussein

Sup adalah satu menu yang paling senang disediakan.  Anak-anak yang tidak suka makan lauk pedas memang suka makan sup.  Sewaktu kerja dulu, kalau lambat sampai di rumah bila jam teruk, sup adalah antara menu yang dimasak.

Kali ini saya kongsikan resipi Sup Ikan Merah

Sup Ikan Merah

Bahan-bahan:
2 keping Ikan Merah
2 ulas Bawang putih  } ditumbuk
2 ulas Bawang merah} ditumbuk
3 ulas Bawang putih  } dihiris
3 ulas Bawang merah} dihiris1 inci Halia dimayang halus
Kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih dan bunga lawang
Garam secukup rasa
1-2 biji Tomato
Daun bawang, daun sup dan bawang goreng sebagai hiasan


Cara-caranya:
1. Ikan dibasuh bersih.
2. Tumis bahan yang telah ditumbuk.
3. Masukkan rempah-rempah.
4. Setelah itu masukkan bahan-bahan yang telah dihiris.
5. Setelah warna kekuningan, masukkan air.
5. Bila air telah menggelegak, masukkan ikan.
6. Mauskkan garam secukup rasa.  Biar  sehingga ikan masak.
7. Masukkan tomato, daun bawang dan daun sup.
8. Jika ada, boleh letakkan bawang goreng.


Sunday, April 28, 2013

Keterujaan dalam bidang masakan - 18.03.13

Teks: Aishah Hussein

Minat memasak ini hadir dalam diri saya sejak saya dari sekolah menengah.  Seingat saya dari tingkatan satu lagi.

Sewaktu saya kecil lagi, saya memang selalu memerhatikan emak dan kakak saya membuat kuih.  Biasalah, masa itu jadi tukang kacau aje.  Yang paling seronok bila buat karipap.  Bancuhan tepung akan diberi, jadi buatlah karipap sendiri.

Kakak saya juga suka membuat kuih raya.  Bila diperlukan pertolongan untuk meletak ceri di atas biskut, saya lah orang yang dicarinya.  Masa itu, dapat upah biskut yg terlebih garing pun dah puas hati.

Bila kakak sudah bekerja di Kualal Lumpur, di rumah tinggal saya seorang aje anak perempuan, nak tak nak memang kena masak lah.

Waktu tingkatan satu, emak terpaksa keluar bekerja di kantin sekolah.  Jadi bila nenek tidak sihat, saya terpaksa mengambil alih tugas memasak.  Pagi-pagi sebelum pergi sekolah sesi petang, saya akan masak nasi dan lauk yang mudah-mudah aje.  Masak sayur lemak taugeh dan ikan goreng berlada pun dah cukup.

Bila di sekolah pula, saya ambil subjek Sains Rumahtangga.  Jadi minat memasak semakin bertambah.  Bila bercerita dengan kawan-kawan pun bercerita macam mana nak masak itu ini.  Tahun itu juga sudah mula teringin nak buat biskut raya.  Biskut yang pertama adalah biskut peanut butter.  Memang sedap sangatlah rasanya waktu itu.

Sewaktu di kelas kami diajar masak rendang, buat kek dan macam-macam lagi.  Dari situlah saya rasa minat saya dipupuk.

Tetapi semuanya terhenti bila masuk univerisiti.  Ketika di kolej persediaan, makan semuanya beli di kedai.  Jadi tiada peluang dan tempat untuk memasak pun.  Bila duduk di luar negara, kami terpaksa memasak sendiri.  Dari situ,  tumbuh kembali minat memasak, cuma setakat masak untuk makan sendiri aje.  Bila waktu hari raya, boleh lah tunjukkan skil masak.

Minat memasak itu tidak pernah padam seingat saya.  Saya suka memasak dan suka memberi orang mencuba masakan saya.  Bila sudah berkahwin, saya suka menjemput kawan-kawan datang ke rumah  Seolah satu kepuasan bila dapat menjamu kawan-kawan makan.

Semasa berlaku kegawatan ekonomi, saya telah mengambil cuti tanpa gaji.  Sewaktu itu, seorang sahabat mengajak saya pergi ke kelas masakan.  Bermula dari situ, saya mula mencuba satu demi satu resipi dan membawa ke ofis untuk kawan-kawan makan.

Fudge Brownies
Alhamdulillah, walaupun saya bukanlah seorang usahawan, tetapi kini saya sudah boleh menyediakan pelbagai masakan.  Masakan yang dulu rasanya hanya boleh beli di kedai tetapi kini saya boleh masak sendiri untuk keluarga saya.

Sekarang juga masih belajar untuk menambah ilmu dengan harapan ilmu-ilmu ini dapat dicurahkan kepada anak cucu saya pula suatu hari nanti.


Kelas asas blog dan penulisan masih lagi dibuka.  Yuran akan dinaikkan selepas cukup 10 orang.
Daftar sekarang hanya RM130 di http://buku-online4u.blogspot.com/p/blog-page_12.html
Atau emel ke noraisah.hussein@gmail.com

Ayam Goreng Berempah

Teks: Aishah Hussein

Ayam goreng memang disukai oleh anak-anak.  Jadi bile ke pasar, ayam mesti beli lebih dari lauk lain.  Tetapi kalau asyik buat ayam goreng kunyit aje,  jemu juga anak-anak.  Apa kata puan buat ayam goreng berempah pulak sekali sekala.  Bunyi macam susah tetapi hakikatnya senang aje.

Ayam Goreng Berempah

Bahan-bahan:
12 ketul Ayam
5 ulas Bawang putih
3 ulas Bawang merah
1 inci Halia
1 sudu besar Cili boh {jika suka}
1 sudu besar Rempah kari
5 helai Daun kari
4 batang serai
Garam secukup rasa
Sedikit kunyit

Cara-caranya:
1. Tumbuk bawang putih, bawang merah dan halia.
2. Campurkan cili boh, rempah kari, daun kari, garam dan kunyit.
3. Tumbuk serai sehingga pecah dan gaulkan sekali.
4. Gaul ayam dengan bahan-bahan tadi dan perap setengah jam {kalau nak cepat boleh digoreng terus}
5. Goreng ayam di dalam minyak panas.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...