Hari Khamis baru-baru ini, lepas update
entri Kemahiran Memasak, siap-siap terus
keluar. Asyik tertangguh aje niat nak
melawat sahabat rapat yang ditimpa ujian penyakit kanser. Orang sakit yang nak pergi melawat orang
sakit. Tapi apalah sangat nak
dibandingkan ujian yang Allah bagi pada saya dengan yang diberi kepada sahabat
ini. Dalam kitaran hidup saya ini, telah
banyak kali saya ditemukan dengan pesakit kanser, yang terdiri dari
sahabat-sahabat rapat dan ahli keluarga sendiri. Tetapi yang mengkagumkan saya ialah mereka
ini adalah orang-orang yang tabah dan redha ketika Allah menguji mereka. Tidak ada langsung kesedihan di raut wajah
mereka. Sebaliknya, orang-orang yang di
sekeliling mereka yang tidak tahan sebak apabila menerima berita itu.
Sahabat saya yang pertama ditimpa ujian
penyakit kanser merupakan sahabat rapat dan teman sebilik ketika di kolej persediaan. Selepas
masing-masing berkahwin, kami lama tidak berhubung, tetapi beberapa bulan
sebelum dia ditimpa ujian itu, dia telah menghubungi saya. Dan sejak itu, saya dan seorang lagi sahabat
rapat selalu berhubung. Kami juga kerap
berjumpa samada berkumpul bersama keluarga ataupun bersendirian. Kami bertiga memang rapat semasa belajar
dulu. Tidak saya sangka rupa-rupanya
Allah merapatkan hubungan kami ketika itu hanya untuk menggembirakan arwah di
saat-saat akhir usia arwah. Saya masih
ingat lagi ketika arwah Na menelefon saya memberitahu yang keputusan biopsi
yang diterima adalah positif kanser paru-paru Stage 3. Saya waktu itu tidak terkata apa, terkejut bila mendengar berita
tersebut. Tetapi suara arwah sedikit pun
tidak ada nada sedih.
Ketika itu saya baru berumur 36 tahun
dan itulah kali pertama saya berdepan dengan keadaan kawan sendiri yang ada
kanser. Hujung minggu itu, kami
sahabat-sahabat semua melawat beliau.
Ada yang menangis berpelukan dengan beliau. Masakan tidak menangis kerana beliau masih mempunyai
anak-anak yang masih kecil. Tetapi dia cuma bagi tahu jangan menangis ye. Sepatutnya dia yang bersedih bukan kami. Bila saya dengar ucapan yang keluar dari
mulut dia itu, saya memang cuba untuk tidak menangis.
Setiap kali melawat beliau di hospital, saya memang menahan untuk tidak
menangis. Ketika arwah berjuang untuk
melawan kansernya itu, dia masih sempat pergi melakukan umrah bersama
suami. Memang saya rasa yang dia akan
bertahan lama kerana semangat dia untuk melawan penyakit itu memang kuat. Sememangnya dia sungguh redha dengan ujian
yang menimpa dirinya. Setiap kali
berjumpa, senyuman tidak pernah lekang di bibirnya. Di waktu kanser makin merebak, suaranya pun
sudah tidak begitu kedengaran dengan kuat. Tetapi, dia masih boleh menghantar sms
memberitahu saya supaya untuk tidak call dia tapi sebaliknya hanya ber-sms
kerana dia sudah tidak boleh berborak di telefon. Namun, Allah lebih sayangkan dia. Setelah 2 tahun berjuang, arwah pergi
meninggalkan kami. Pada hari itu, saya
sedikit pun tidak mengeluarkan airmata.
Bukan tidak bersedih, tetapi seolah-olah masih mendengar pesanan arwah
untuk tidak menangis. Tetapi selepas
sehari berlalu, kesedihan ini datang dengan sendirinya. Ketika di pejabat, perasaan sayu datang
setiap kali teringat sahabat ini dan airmata terus mengalir. Moga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan
di kalangan hamba-hamba yang beriman.
Al-fatihah.
No comments:
Post a Comment