Wednesday, August 10, 2016

Raikan Anak-anak

Teks: Aishah Hussein

Alhamdulillah.

Terima kasih atas nikmat yang kau berikan setiap saat.
Apa sahaja yang datang dariMU adalah yang terbaik.
Buruk di mata kita, bukan bermakna ia tidak baik bagi kita.
Baik di mata kita, belum tentu ianya terbaik bagi kita.
Bukan mudah untuk didik hati.
Tundukkan hati pada DIA. Inshaallah ia akan jadi mudah.
Ya Baari. Kau aturkanlah kehidupan mengikut agendaMu.
Dan jadikanlah aku redha di atas setiap ketentuanMU.

Tinggal beberapa hari sahaja lagi Along akan kembali ke Mesir.  Nampaknya keseorangan kembali minggu hadapan.  Sabar menunggu Angah cuti semester pula nanti.
Apabila kita sudah tua, antara keseronokan yang kita tunggu ialah kepulangan anak-anak ke rumah.
Saya sangat-sangat tidak faham apabila ada anak-anak yang tidak pulang ke kampung halaman apabila raya tiba.  tidak semestinya pulang pada raya pertama tetapi pada raya kedua atau pun ketiga juga sudah dapat menggembirakan hati ibubapa.  Kedua belah pihak perlu diraikan.  Usah berat sebelah ketika meraikan ibubapa, baik mertua mahupun ibubapa sendiri.

Moga kita diraikan anak-anak dan menantu apabila kita tua nanti.

Sebulan Along balik,  minggu terakhir ini barulah dapat tunaikan hidangan yang dia minta.
Jadi Ahad lepas sempat buatkan Along Nutella Cheese Tart.  Yang makan bukan lah Along seorang tetapi ibu dan Adik juga hi hi.  Selepas ini Kek DFC pula.  Inshaallah, cuba tunaikan yang mana termampu.



Thursday, July 21, 2016

Selamat Hariraya 2016/1437H

Teks: Aishah Hussein

Alhamdulillah.
Masih belum terlambat untuk saya ucapkan Selamat Hariraya kepada semua rakan-rakan.  Sepuluh jari saya susunkan memohon kemaafan andai ada kesilapan atau terkasar bahasa saya yang mengguris hati rakan-rakan.

Syukur setiap saat atas segala nikmat yang Allah berikan.
Raya tahun ini, Allah berikan peluang untuk beraya bersama Along.  Walaupun tidak berpeluang untuk berpuasa di bulan Ramadhan tetapi Allah bagi peluang untuk berpuasa di bulan Syawal bersama.   Namun kali ini, Angah pula tiada di rumah.  Angah puasa dengan rakan-rakan dia di kolej aje.

Walau di mana anak-anak berada, jauh mahupun dekat.  Setiap hari tidak lupa untuk berhubung dengan mereka.  Tanpa jemu ingatkan tentang solat, Al quran sambil-sambil bertanya khabar.  Sampai bila nak ingatkan?  Sampai kita mati.  Moga anak-anak kita sentiasa dalam lindungan Allah.

Ketika mereka ada di depan mata, kita boleh membebel dan ingatkan tetapi bila masing-masing sudah dewasa dan jauh dari kita, hanya doa yang kita ada.  Sentiasa mohon yang terbaik untuk anak-anak dan keluarga.

Monday, June 6, 2016

Ramadhan 2016

Teks: Aishah Hussein


Alhamdulillah.
Setelah lama menyepi, hari ini berkesempatan membuat 1 entri.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan Ramadhan Kareem buat semua sahabat-sahabat.
Moga Ramadhan kali ini lebih baik dari tahun-tahun yang sebelumnya.

Ramadhan kali ini, Kak long masih tidak bersama kami sehingga hari terakhir Ramadhan insha Allah.  Angah juga hanya sempat berpuasa bersama kami 9 hari sahaja.  Tinggallah kami bertiga di rumah.  Tidak dapat nak bayangkan, berapa pot nasi aje lah nanti saya nak masak sebab semua yang kaki makan tidak ada di rumah.
Moga kami dapat bersama pada cuti raya nanti.

Bagi yang mahu mencari idea menu untuk berbuka puasa, boleh klik sini Resipi Ramadhan

Sempena Ramadhan, saya ingin berkongsi sedikit ilmu dari perkongsian Shaikh Abdul Aziz Syaikh Ghonim di kuliah dhuha tadi.

Rancang apa yang kita boleh lakukan supaya Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan sebelum ini.

1. Sedekah - tidak terhad kepada duit sahaja.
    Senyuman kepada setiap orang yang kita jumpa, kenal atau tidak juga merupakan sedekah. Kalau dulu hanya senyum pada orang yang kita kenal sahaja kali ini senyum pada semua orang. Bukankah itu sedekah yang lebih baik dari sebelum ini.
Ganjarannya kita tidak tahu berapa banyak kerana Allah simpan untuk di sana nanti.  Walau kita liaht ianya perkara kecil tetapi sebenarnya ia besar di sisi Allah.

2.  Wujudkan 1 tempat dalam majlis-majlis ilmu.  Bila kita lakukan secara jemaah, ianya lebih berkat dan menambah ketaqwaan kita.  Bulan Ramadhan banyak diadakan majlis-majlis ilmu.  Cuba untuk hadirkan diri ke majlis-majlis ini.  Tidak dapat semua, hadir satu.

3. Bulan Al Quran
    Rancang aktiviti untuk kuatkan hubungan dengan Al quran.
Kalau boleh khatam sekali tahun lepas, pasang niat untuk khatam 2 kali tahun ini.
Bagi yang memang sibuk dan rasa tidak boleh baca banyak.  Cuba baca 7 ayat dan tafsirnya.  Fahamkan dan refleksi pada diri kita.
Fikirkanlah apa cara juga asalkan kita dapat dekat dengan Al quran bulan Ramadhan ini.
Tipulah kalau kita kata tiada masa untuk Al Quran sedangkan kita ada banyak cara untuk mendekati Al quran.  Dalam kereta ada radio ikim, ada CD player. Di telefon bimbit ada apps Quran yang boleh kita mainkan.  Kalau tak larat sangat lah, ambik Quran dan tengok aje lah.  Itupun dapat pahala.
Kurangkan membuka fb, instagram dan yang melekakan sebaliknya buka Al quran.

4. Yang bekerja dengan majikan.
Naiktarafkan waktu bekerja kita menjadi satu ibadah.
Waktu bekerja cuba cari peluang untuk berikan perkhidmatan menolong sesama insan.
Ini dapat membantu memadamkan dosa kita.
Carilah jalan apa-apa pun untuk menjadikan amalan adat kepada amalan ibadat.

5. Tanamkan rahmat dalam hati.  Jadi baik kepada orang lain, adik-beradik.
    Mohon kemaafan kalau kita ada buat kesalahan dan maafkan orang lain.
    Jangan ego.
    Bimbang jika kita keras hati, kita tidak mendapat Rahmat Allah bagi 10 hari pertama Ramadhan.
    Juga sibukkan diri dengan ibadat.  Jangan menyibuk dengan benda lain seperti mengumpat. Ingatkan diri kita selalu untuk meraih rahmat Allah.

6. Malam Al Qadr.
    Buat yang terbaik untuk bertemu dengan Al Qadr di 10 malam terakhir.

7.  Rancang aktiviti amal ibadat.
    - Puasa di siang hari.  Puasa yang sebenarnya, puasa zahir dan batin.
    - Qiam. Iaitu beribadat di waktu malam.
      waktunya selepas azan maghrib sehingga azan subuh.  Bukan qiamulail sahaja tetapi berbuat kebaikan. Contohnya hantar mesej selamat berpuasa kepada rakan pun dikira beribadat.
    -  Qiamulail malam Al Qadr

8.  Puasa - tidak terhad kepada puasa makan dan minum aje.
    Kuatkan hubungan dengan Allah dan manusia.
    Jangan bagi peluang mata melihat benda-benda haram.
    Jangan bagi peluang lidah bercakap benda yang tidak berfaedah.

Akhir kata saya doakan kita semua diberi kesihatan yang baik untuk beribadat sepanjang bulan Ramadhan dan bertemu dengan malam Al Qadr. Ameen.


Tuesday, January 5, 2016

Azam Baru 2016?

Teks: Aishah Hussein

Alhamdulillah.
Buka lembaran baru.  Tahun baru.
Azam baru? Azam lama?

Semalam dalam kuliah dhuha, ustaz Zul Ramli ada menceritakan sedikit tentang beza niat dan azam yang sebenarnya dalam konteks Islamik.  Kenapa ramai gagal mencapai azam. 

Secara ringkasnya beliau menyebut, ramai di antara kita hanya sebut atau fikirkan mahu buat itu dan ini.  Tetapi tidak fikir bagaimana mahu laksanakan, apa halangannya.

Sebenarnya apabila kita fikir, itu hanya satu keinginan.  Kita memang sudah dapat pahala. 
Apabila kita fikir apa dan kenapa itu adalah cita-cita.

Apabila kita fikir bagaimana, bila dan apa halangannya dan cara untuk menempuh halangannnya itulah yang dipanggil azam.  Kalau kita tidak fikir sampai ke tahap itu, maka tinggallah cita-cita hanya menjadi angan-angan.

Contoh,

Kita mahu solat tahajud setiap malam.
Kenapa => sebab kita mahu lebih dekat dengan Allah, dan lain-lain fadhilat yang disebutkan oleh ulamak.

Bagaimana => Ajak suami untuk sama-sama bangun malam. Berjemaah lebih baik.
                         Tidur awal.
                         Makan malam kurangkan kuantiti.
Halangan =>    Kalau suami tidak mahu atau tidak memberi sokongan.
Cara atasi 
halangan =>     Buat sendiri aje.
                       
Selepas itu kalau kita sudah usaha dan tidak berjaya, barulah kita boleh katakan azam kita tidak berjaya.  Kalau kita hanya di peringkat apa dan kenapa. Bermaksud kita belum betul-betul berazam.                  
Saya tidak pandai untuk terangkan lebih terperinci.  Kawan-kawan boleh dengar penerangan dari ustaz Zul Ramli sendiri Jumaat ini, 8 Jan 2016 di Radio IKIM, inshaAllah.
Promo lak hihi.

Apa-apa pun Selamat Tahun Baru untuk kawan-kawan semua.  Moga tahun baru ini membawa keberkatan kepada kita semua.
Bersyukur apabila banyak dan merasa cukup apabila sedikit. Wallahualam.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...