Friday, March 15, 2013

Pengenalan/Profil

Teks : Aishah Hussein

Nama sebenar Nor Aisah Hussein, diberikan oleh nenek saya sempena nama isteri Rasulullah S.A.W. iaitu Sayyidatina Aisyah.  Walaupun ejaannya berlainan, tapi sebutannya tetap aisyah.  Seorang Isteri serta Ibu kepada 3 orang anak.  Dilahirkan pada tahun 1968, dibesarkan dan mendapat pendidikan rendah dan menengah semuanya di negeri Pahang.  Menyambung pelajaran di Shah Alam dan ke Luar Negara dan akhirnya dengan izin Allah berjaya bergelar graduan dan menjawat jawatan sebagai seorang Jurutera di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.


Walaupun bekerja makan gaji, keinginan untuk menjadi suri rumah sepenuh masa sentiasa menjadi “wishlist” dalam hidup saya.  Zaman mak-mak kita dulu-dulu mana ada istilah “Work at Home Mom” ataupun “Stay at Home Mom”.  Bagi ibubapa, kalau sudah belajar sampai ke luar negara mesti bekerja makan gaji sampai pencen.  Kalau duduk di rumah memang tiada pendapatan.  Saya sendiri juga tidak mahu terus tidak bekerja setelah “graduate”.  Ketika itu, niat untuk bekerja makan gaji hanya untuk beberapa tahun sahaja, kemudian bila anak sulung sudah mula masuk sekolah saya akan berhenti kerja.  Tetapi mungkin kerana keadaan kerja tidak begitu memberi tekanan dan keadaan ekonomi juga memberikan pulangan yang baik kepada pekerja-pekerja swasta, niat untuk berhenti kerja seolah-olah terpendam seketika.  Tambahan pula, masa untuk anak dan suami masih boleh diseimbangkan dengan kerjaya, jadi saya tidak begitu memikirkan untuk berhenti kerja.  Saya mampu bertahan sehingga memiliki tiga orang anak.  Walaupun tidak mempunyai pembantu rumah, dengan bantuan “baby-sitter” anak saya, arwah Kak Norsiah, yang lebih saya anggap kakak (baru sahaja meninggal pada 14 Februari 2013), saya tidak perlu risau jika saya perlu pulang lambat dari pejabat ataupun perlu “outstation” sekali sekala.

Jawatan jurutera memang memerlukan saya “out-station”.  Sebelum berkahwin memang semua itu tiada masalah tetapi bila sudah berkahwin dan ada anak, saya rasa jiwa saya tidak sesuai lagi untuk selalu “out-station”.  Jadi bila saya mendapat anak yang pertama saya memohon untuk bertukar ke jabatan “Computer Aided Design and Drafting” di mana saya diberi pendedahan kepada penggunaan software AutoCad dan software untuk projek yang melibatkan Geographic Information System(GIS).

Pada tahun  1997, keadaan ekonomi negara telah mula gawat dan syarikat kami juga telah mula memberikan opsyen “Voluntary Surrender Scheme” (VSS) kepada semua pekerja.  Walaupun saya memilih untuk memohon VSS, tetapi percaturan Allah lebih tersusun.  Permohonan saya ditolak kerana saya masih terlibat dengan projek yang sedang berjalan.  Pada tahun 1998 setelah mendapat anak kedua, semangat untuk untuk berhenti bekerja kembali hidup.  Dengan izin Allah, saya pergi mencari kelas menjahit dan belajar menjahit, dengan harapan jika saya berhenti kerja ada lah sedikit ilmu yang boleh digunakan untuk menambah pendapatan.  Dengan ilmu yang dicedok dari guru saya Pn Zaleha, saya berjaya menghasilkan baju kurung untuk kanak-kanak dan saya bawa jual di pejabat.  Saya juga pergi ke kelas-kelas jahitan yang lain (Kak Ani dan Kak Sofea)  bagi memantapkan ilmu jahitan saya.  Percaturan Allah juga, pada masa itu seorang sahabat mengajak saya pergi ke kelas memasak Kak Pau.  Sememangnya minat membuat kek-kek dan kuih-kuih moden memang telah ada dalam diri saya kerana sejak dari sekolah menengah lagi memang sudah mula membuat kek-kek dan biskut raya.  Dari kelas-kelas yang dihadiri, kemahiran dan teknik yang betul saya pelajari. Hasil kek dan kuih yang dicuba akan dibawa ke ofis saya dan juga En. Suami.  Niat hanya sebagai sedekah sebab di rumah anak-anak masih kecil, jadi siapa yang hendak makan sangat.  Tetapi bermula dari situ, rakan ofis suami mula membuat tempahan Kek Lapis Pandan, Kek Carrot, Fruit Tartlet dan beberapa jenis lagi yang selama ini saya rasa hanya boleh dibeli di kedai kek sahaja.  Lagipun, waktu itu kedai kek Bumiputera mana ada sangat jadi saya rasa memang sesuai sangat kalau buat bisnes bakeri sambil-sambilan.  Cuma saya tidak lakukan secara serius sebaliknya hanya suka-suka sahaja.

Bila keadaan eknomi sudah mula pulih sedikit, syarikat saya juga sudah mula mendapat beberapa projek.  Saya ditempatkan di jabatan baru yang mana saya rasa sesuai dengan keadaan saya, ibu beranak tiga yang tidak mempunyai pembantu rumah.  Sesekali balik lambat pun masih boleh bertolak ansur lagi.  Tetapi bila ada projek yang memerlukan saya pergi ke luar daerah secara konsisten, hasrat saya untuk berhenti kerja mula membara kembali.  Setiap hari berdoa kepada Allah memohon diberi petunjuk dan kekuatan untuk membuat keputusan.  Satu keputusan yang bukan senang untuk dibuat oleh saya yang telah bekerja bertahun-tahun di syarikat tersebut.

Semangat untuk berhenti kerja juga semakin membara bila saya diperlukan untuk ke luar daerah sehingga 3-4 hari. Ditambah pula dengan kerjaya En. Suami juga memerlukan dia ke luar daerah sehingga ada kalanya saya terpaksa meninggalkan anak saya yang masih bersekolah untuk bermalam di rumah “baby-sitter” bila jadual kerja kami ke luar daerah berlaku serentak.  Memang Allah kurniakan saya seorang “baby-sitter” yang baik hati yang menjaga anak-anak saya sejak dari kecil lagi tanpa mengenakan bayaran tambahan.  Tetapi apabila mendengar keluhan anak-anak sewaktu memberitahu yang mereka akan ditinggalkan di rumah “Mak” dua tiga hari,  hati ini meruntun-runtun untuk berhenti kerja terutamanya bila si kecil komen, “tak best la ibu tak ada, saya tak ada orang nak peluk bila tidur”.  Sayu hati bila setiap kali hendak tinggalkan mereka walaupun bila ayah mereka ada. Keaadaan kesihatan saya yang tidak mengizinkan saya untuk memandu terlalu lama mahupun berdiri terlalu lama juga menjadi penyebab saya membuat keputusan untuk berhenti kerja pada tahun ini, 2013.  Walaubagaimanapun, keputusan ini bukanlah dibuat semborono.  Keizinan dari “Chief of Executive” saya pohon bukan selama 7 hari sahaja tetapi bertahun-tahun.  Cuma akhir-akhir ini, saya banyak berserah kepada DIA untuk memberi saya tarikh yang sesuai untuk meneruskan niat saya ini.

 Jadi, bila berhenti kerja nak buat apa.  Itu soalan pertama yang ditanya oleh semua orang yang tahu saya akan berhenti kerja.  Memang saya boleh menjahit, boleh buat kek tetapi keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan saya membuat secara sepenuh masa, kalau sambil-sambilan in shaa allah saya masih mampu.  Sejujurnya saya tidak tahu nak buat apa.  Memang saya betul-betul berserah kepadaNya.  Susunan Allah untuk hambaNya yang berserah ini, saya ditemukan dengan Pn Masayu Ahmad di alam maya secara kebetulan sewaktu mencari-cari di internet berkaitan “Work at Home Mom”.  

Saya sememangnya tahu makna WAHM tetapi saya memang tidak mempunyai sebarang idea untuk mula.   Apa bisnes yang saya boleh buat.  Kata "work at home" tetapi kerja apa yang saya boleh tawarkan.  Hendak jual apa pun, produk tidak ada.  Alhamdulillah, pertemuan dengan Pn Masayu membuka jalan satu demi satu.

Pertemuan saya dengan sifu, Pn Masayu Ahmad di alam maya tahun 2013 adalah ketika saya mencari cara menjana wang dari rumah.  Setelah membaca ebook beliau Janawang dari Rumah, saya dilorongkan oleh Allah untuk menjadi agen dropship produk buku dan produk sunnah kepada Puan Masayu.  Memang sangat bersesuaian dengan keadaan saya yang baru berhenti kerja dan tidak mempunyai modal untuk mulakan bisnes.
Sememangnya petunjuk dari Allah itu memang cantik aturannya.  Tidak lama selepas itu juga, Puan Masayu menawarkan kelas blog dan ebook (hanya untuk 5 orang ketika itu), saya terus mendaftar dan menjadi pelajar kedua ketika itu.  Sambil menyiapkan blog untuk memenuhi kriteria Akademi Bekerja Dari Rumah, saya diberi peluang untuk menjadi pembantu Kelas Asas blog.  Sambil belajar sambil mengajar.   Semuanya secara online.

Alhamdulillah.  Kini sudah hampir 18 bulan saya menjadi WAHM.  Menjadi guru online dan kini juga sudah mengajar asas blog secara offline di rumah sahaja, andai ada permintaan.  Siapa sangka, niat nak berhenti kerja untuk duduk di rumah dan menjaga anak.  Tetapi Allah beri peluang untuk belajar benda baru dan memberi ilmu kepada orang lain.  Saya sangat bersyukur di atas ilmu yang saya kutip sepanjang saya menjadi pelajar dan tenaga pengajar. Ada satu kepuasan apabila saya dapat membimbing setiap peserta sehingga berjaya membina kedai online mereka.  Bersyukur kerana saya dapat membantu suri rumah yang memang memerlukan bimbingan untuk menjana pendapatan hanya dari rumah.

 Ketika mula berblog dulu, dengan pengalaman saya yang tidak seberapa ini, saya hanya bercadang menulis Tips Resipi Mudah Untuk Suri Rumah sama ada yang bekerja mahupun yang duduk di rumah sepenuh masa.  Tetapi kini lebih banyak yang dapat saya kongsikan di blog ini rupanya.  Moga dengan apa yang saya sumbangkan di sini dapat memberi manafaat kepada kita bersama-sama untuk menuju Jannah di sana nanti.

Saya berdoa agar pertemuan yang diaturkan oleh Allah SWT ini akan membuka jalan dan ruang untuk saya menjana pendapatan dari rumah sambil mencari pahala untuk dibawa ke dunia yang lebih kekal nanti.
Wassalam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...