Saturday, March 23, 2013

Mencari RedhaMu - 21.03.13

Teks : Aishah Hussein

Hari Khamis baru-baru ini, lepas update entri Kemahiran Memasak, siap-siap terus keluar.  Asyik tertangguh aje niat nak melawat sahabat rapat yang ditimpa ujian penyakit kanser.  Orang sakit yang nak pergi melawat orang sakit.  Tapi apalah sangat nak dibandingkan ujian yang Allah bagi pada saya dengan yang diberi kepada sahabat ini.  Dalam kitaran hidup saya ini, telah banyak kali saya ditemukan dengan pesakit kanser, yang terdiri dari sahabat-sahabat rapat dan ahli keluarga sendiri.  Tetapi yang mengkagumkan saya ialah mereka ini adalah orang-orang yang tabah dan redha ketika Allah menguji mereka.  Tidak ada langsung kesedihan di raut wajah mereka.  Sebaliknya, orang-orang yang di sekeliling mereka yang tidak tahan sebak apabila menerima berita itu.

Sahabat saya yang pertama ditimpa ujian penyakit kanser merupakan sahabat rapat dan  teman sebilik ketika di kolej persediaan. Selepas masing-masing berkahwin, kami lama tidak berhubung, tetapi beberapa bulan sebelum dia ditimpa ujian itu, dia telah menghubungi saya.  Dan sejak itu, saya dan seorang lagi sahabat rapat selalu berhubung.  Kami juga kerap berjumpa samada berkumpul bersama keluarga ataupun bersendirian.  Kami bertiga memang rapat semasa belajar dulu.  Tidak saya sangka rupa-rupanya Allah merapatkan hubungan kami ketika itu hanya untuk menggembirakan arwah di saat-saat akhir usia arwah.  Saya masih ingat lagi ketika arwah Na menelefon saya memberitahu yang keputusan biopsi yang diterima adalah positif kanser paru-paru Stage 3.  Saya waktu itu tidak terkata apa, terkejut bila mendengar berita tersebut.  Tetapi suara arwah sedikit pun tidak  ada nada sedih.

Ketika itu saya baru berumur 36 tahun dan itulah kali pertama saya berdepan dengan keadaan kawan sendiri yang ada kanser.  Hujung minggu itu, kami sahabat-sahabat semua melawat beliau.  Ada yang menangis berpelukan dengan beliau.  Masakan tidak menangis kerana beliau masih mempunyai anak-anak yang masih kecil. Tetapi dia cuma bagi tahu jangan menangis ye.  Sepatutnya dia yang bersedih bukan kami.  Bila saya dengar ucapan yang keluar dari mulut dia itu, saya memang cuba untuk tidak  menangis.  Setiap kali melawat beliau di hospital, saya memang menahan untuk tidak menangis.  Ketika arwah berjuang untuk melawan kansernya itu, dia masih sempat pergi melakukan umrah bersama suami.  Memang saya rasa yang dia akan bertahan lama kerana semangat dia untuk melawan penyakit itu memang kuat.  Sememangnya dia sungguh redha dengan ujian yang menimpa dirinya.  Setiap kali berjumpa, senyuman tidak pernah lekang di bibirnya.  Di waktu kanser makin merebak, suaranya pun sudah tidak begitu kedengaran dengan kuat.  Tetapi, dia masih boleh menghantar sms memberitahu saya supaya untuk tidak call dia tapi sebaliknya hanya ber-sms kerana dia sudah tidak boleh berborak di telefon.  Namun, Allah lebih sayangkan dia.  Setelah 2 tahun berjuang, arwah pergi meninggalkan kami.  Pada hari itu, saya sedikit pun tidak mengeluarkan airmata.  Bukan tidak bersedih, tetapi seolah-olah masih mendengar pesanan arwah untuk tidak menangis.  Tetapi selepas sehari berlalu, kesedihan ini datang dengan sendirinya.  Ketika di pejabat, perasaan sayu datang setiap kali teringat sahabat ini dan airmata terus mengalir.  Moga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan hamba-hamba yang beriman.  Al-fatihah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...