Thursday, November 20, 2014

Ikan Masak CIli Angah

Teks: Aishah Hussein

Alhamdulillah.  Tinggal sehari lagi hari bersekolah anak-anak.  Tetapi sekolah menengah sudah mula bercuti awal.  Ada hari tertentu sahaja yang perlu ke sekolah.  Jadi Angah hanya duduk di rumah.  Ada hari dia akan pergi bermain futsal, jadi ibu lah yang kena menghantar dan mengambil.

Angah, walaupun seorang lelaki sejati :) tetapi jiwanya minat untuk cuba memasak.  Seperti biasa, ada hari yang ibu malas nak masak, angah akan dengan rela hati menawarkan diri untuk masak.  Ibu sangat gembira kerana asyik makan air tangan sendiri aje, rasa jemu tu memang ada.

Seperti biasa, kalau Angah yang masak, dia akan masak apa yang dia suka.  Jadi semalam dia masak Ikan Masak Cili Hijau.  Menu ini sebenarnya kami pernah makan di Restoran Shaaz di Seksyen 19, Shah Alam tetapi mereka menggunakan Ikan Talapia.  Siap ada petai lagi dalam tu.  Tetapi hari semalam hanya ada ikan Selar, maka jadi lah Ikan Selar masak Cili.  Kali ini cukup rasa, masin, pedas, manis.  Ibu bagi 9 dari 10 markah.  Makan berdua nasi 2 pot pun habis macam ni.  Siap berjanji dengan diri sendiri, malam ini hanya makan lauk sahaja, kononnya lah ;)

Ikan Masak Cili


Bahan-bahan
1 ekor Ikan Talpia bersaiz besar (Kami gunakan 2 ekor ikan Selar yang sedang)
15 biji Cili padi (ikut kepedasan yang disukai) }tumbuk/mesin halus
5 Cili Hijau }tumbuk/mesin halus
5 ulas bawang merah} ditumbuk
2 ulas bawang putih} ditumbuk
1 labu bawang besar) dihiris
Garam
Gula
Minyak untuk menggoreng ikan dan juga untuk menumis sambal

Cara-cara:
1. Goreng ikan sehingga garing.
2. Tumis bawang yang ditumbuk dengan minyak.  Setelah naik bau, masukkan cili.  Goreng sehingga sedikit garing. Masukkan gula sedikit.
3.  Masukkan air jika mahu ada kuah sedikit.  
4.  Masukkan garam, bawah besar dan  asam keping.  Masak sehingga pekat.
5.  Boleh tuangkan sambal di atas ikan terus atau boleh juga masukkan ikan ke dalam kuali sebentar dan gaul seketika sehingga ia disaluti dengan sambal.
6.  Sudah siap, boleh dihidangkan bersama salad.

Kami berdua memang tersangat lapar.  Tidak ada masa untuk hias-hias lagi.

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...