Saturday, December 28, 2013

Chef hebat untuk keluarga

Teks: Aishah Hussein
Foto: Carian Google

Bisnes makanan bukan semudah berniaga produk fizikal yang lain.  Perlu ada kepakaran, minat dan bijak pengurusan.  Yang paling penting ada kesungguhan.  Ia bisnes yang sangat memenatkan tetapi memberi kepuasan setiap kali kita dapat menyiapkan tempahan pelanggan.  Lebih-lebih lagi ia dapat memuaskan hati pelanggan.

Dengan kenaikan harga keperluan asas, permulaan tahun 2014 juga akan mula memberi impak kepada bisnes makanan.  Para peniaga juga akan mula menaikkan harga produk makanan mereka.
Pada pihak pelanggan, mereka akan fikir tentang jumlah duit yang perlu mereka keluarkan untuk membayar harga produk yang mereka beli.  Pada pihak peniaga pula berfikir tentang kenaikan harga yang bakal menambah jumlah modal kepada bisnes mereka.  Jika dijual dengan harga mahal akan menaikkan kemarahan di kalangan pelanggan.  Sekiranya tidak dinaikkan, mereka terpaksa menanggung keuntungan yang lebih sedikit dari biasa, andai tidak kerugian.

Pelanggan dan peniaga saling perlu memerlukan.  Peniaga juga adalah pengguna kepada produk lain jadi sudah tentu mereka juga terasa kebahangan kenaikan harga.  Moga kita sama-sama saling membantu agar tidak membebankan masyarakat dengan isu kenaikan harga barang.

Sebagai peniaga, janganlah setiap kali ada kenaikan harga, harga produk kita juga perlu dinaikkan.  Bagi pelanggan pula, jika kita rasa harga sebiji karipap yang naik hingga ke 60 sen itu sudah melampau harganya, maka tidak perlu lagi beli dengan peniaga tersebut.  Buat sendiri karipap di rumah.  Bukankah itu lebih menjimatkan?

Tahun 2014 adalah tahun di mana kita berlu bertindak.  Usah bising-bising lagi kerana kita memang sudah sedia maklum kenaikan harga-harga minyak, gula dan lain-lain barang memang akan berlaku setiap tahun.  Ubah kehidupan kita agar kita dapat hidup dengan lebih tenang.


Bagi suri rumah, mula bekalkan makanan untuk anak-anak ke sekolah.  Kuatkan semangat untuk bangun lebih awal sedikit agar boleh sediakan nasi goreng, roti telur atau semudah cekodok.  Itu antara matlamat saya pada tahun depan.  Tidak semestinya masak yang hebat-hebat tetapi cukup sekadar dapat menyediakan makanan yang disediakan dengan air tangan ibu.  Walau apa pun yang kita masak, anak-anak masih letakkan masakan kita sebagai masakan no 1 di dunia.  Jadilah kita sebagai chef yang hebat untuk keluarga kita setiap hari.

Foto: m.vemale.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...