Tuesday, March 26, 2013

Super Woman Super Mom - 26.03.13


Teks : Aishah Hussein
Foto: Carian Google

Tugas seorang suri rumah:

1. Melahirkan anak.
2. Menjaga anak-anak.
3. Mengejutkan anak-anak pagi-pagi.
4. Menyediakan makan minum keluarga.
5. Membasuh kain.
6. Melipat kain.
7. Membasuh pinggan mangkuk.
8. Melayan suami.
9. Menyemak kerja sekolah anak-anak.
10. Membantu anak-anak mengemaskan buku.
11. Menggosok baju.
12. Membantu menambah pendapatan keluarga.
.
.
.
Dan senarainya berterusan

Bukan mengungkit atau mengeluh, cuma berharap anak-anak tidak melupakan jasa ibu.  Dan suami-suami menghargai isteri kalian sebagaimana kalian menghargai ibu kalian.

Bagi seorang ibu seperti saya, setiap kali En Suami ke luar daerah, memang terasa kepenatannya.  Itu yang terasa macam Super Mom. Masa itu jugalah terpikir nak letak jawatan jam-jam tu juga.  Tapi pada hakikatnya, tidak bekerja tidak bererti kita tidak sibuk.  Lagi banyak sebenarnya tugas-tugas rumah nak dibuat. 

Kalau Superman terbang ke sana sini menyelamatkan dunia diagung-agungkan.  Super Woman Super Mom ini ke hulu ke hilir menjalankan tanggunjawab yang tiada berkesudahan kepada keluarganya lebih patut dihargai oleh dunia.  Tidak mengira apa juga bangsa dan agamanya, tugasnya tetap sama.


 Jadi mungkin selepas diterbitkankan ebook Super Wahm Super Mom, Puan Masayu Ahmad boleh memikirkan pula untuk  menulis ebook Super Woman Super Mom pula. 


RM50 sahaja untuk dua ebook dan
dapat satu buku bonus Strategi Pemasaran Rasulullah

Cara untuk membeli:
beli di sini dahulu www.janawangdirumah.com

                                         Kemudian baki RM30, bayar di sini Buku Online.
                           Sebarang pertanyaan boleh emel ke noraisah.hussein@gmail.com
 

Monday, March 25, 2013

Bisnes Makanan Sejuk Beku


Teks : Aishah Hussein
Foto: Carian Google

Dengan kesibukan ibu-ibu bekerja, makanan sejuk beku juga semakin mendapat di tempat hati masyarakat Malaysia.  Salah satu sebab adalah kerana ia pantas disediakan dan menjimatkan masa.  Berbagai jenis makanan sejuk beku yang ada di pasaran.  Kalau dulu, hanya bahan mentah yang disejuk bekukan.  Tapi kini bermacam-macam makanan telah dihasilkan.  Balik rumah hanya kukus, rebus atau pun goreng, terus boleh makan.

Mula-mula dulu makanan sejuk beku yang dihasilkan adalah lebih kepada makanan segera seperti nugget, piza dan kentang goreng.  Makanan begini memang mendapat tempat di hati anak-anak.  Ibu-ibu yang sibuk selalunya memang akan membeli dan membuat stok di rumah.  Tetapi sekarang, bukannya makanan untuk kanak-kanak sahaja, kuih-kuih tradisional melayu juga sudah disejuk bekukan.  Antaranya kuih kuaci, roti canai, karipap, donut, murtabak, cucur badak, satar dan pulut panggang.  Ini semua boleh menjadi penyelamat bila ada tetamu datang ke rumah secara mengejut. Dan yang paling saya rasa sangat lega sekarang ialah sudah ada produk-produk untuk membuat yong tau foo seperti fucuk, bebola ikan, kek ikan dan lain-lain.  Dulu produk-produk ini memang dihasilkan oleh orang bukan Islam, tetapi sekarang amat mudah untuk mendapatkan produk halal.  Jadi, terpeliharalah umat islam dari memakan produk yang tidak diyakini kehalalannya.
Masa zaman mak-mak kita dulu, mereka suri rumah sepenuh masa.  Untuk sarapan, malam-malam sudah mula buat karipap.  Pagi-pagi esoknya bangun awal-awal gorengkan karipap untuk anak-anak bersarapan ataupun untuk dibawa bekal ke sekolah. Petang nanti siapkan lagi menu untuk minum petang.  Bubur kacang ataupun ubi kayu rebus.  Semuanya kuih-kuih tradisional yang memang menjadi nostalgia kepada kami yang veteran ini.  Tetapi sekarang ibu-ibu dah sibuk.  Pagi-pagi keluarkan sahaja karipap sejuk beku dan gorengkan.  Manalah sempat nak buat malam-malam.  Sampai rumah dah pukul berapa.  Nak masak makan malam(itupun kalau masak), nak tengokkan kerja sekolah anak lagi.  


“Zaman dah berubah, dunia dah maju”.  Kerana peredaran masa ini jugalah makanan sejuk beku semakin mendapat tempat di hati masyarakat sekarang.  Bisnes makanan sejuk beku ada yang diijalankan di rumah, kedai atau pun di kiosk.  Di pasaraya-pasaraya besar juga sudah membekalkan banyak produk-produk sejuk beku yang halal.

Untuk bisnes pembuatan makan sejuk beku, kita perlu ada kemahiran dalam memproses produk tersebut serta pengendaliannya. Kedua-dua kemahiran ini penting dalam apa juga bisnes masakan.

Tetapi jika kita tidak mahu terlibat dalam proses pembuatan, kita boleh memilih untuk menjadi pembekal.  Boleh hubungi mana-mana syarikat yang menyediakan makanan sejuk beku dan dapatkan bekalan dari mereka.  Ada juga antara syarikat  pembuat ini menawarkan kiosk untuk kita kendalikan, berkonsep seperti franchise.  Terpulang kepada kemampuan kita.  Tetapi apa-apapun pilihan kita, pastikan yang  makanan yang kita hasilkan atau jual adalah jenis yang tidak menggunakan bahan pengawet.  Jangan jadikan makanan sejuk beku bersifat seperti  makanan segera.




Saturday, March 23, 2013

Mencari RedhaMu - 21.03.13

Teks : Aishah Hussein

Hari Khamis baru-baru ini, lepas update entri Kemahiran Memasak, siap-siap terus keluar.  Asyik tertangguh aje niat nak melawat sahabat rapat yang ditimpa ujian penyakit kanser.  Orang sakit yang nak pergi melawat orang sakit.  Tapi apalah sangat nak dibandingkan ujian yang Allah bagi pada saya dengan yang diberi kepada sahabat ini.  Dalam kitaran hidup saya ini, telah banyak kali saya ditemukan dengan pesakit kanser, yang terdiri dari sahabat-sahabat rapat dan ahli keluarga sendiri.  Tetapi yang mengkagumkan saya ialah mereka ini adalah orang-orang yang tabah dan redha ketika Allah menguji mereka.  Tidak ada langsung kesedihan di raut wajah mereka.  Sebaliknya, orang-orang yang di sekeliling mereka yang tidak tahan sebak apabila menerima berita itu.

Sahabat saya yang pertama ditimpa ujian penyakit kanser merupakan sahabat rapat dan  teman sebilik ketika di kolej persediaan. Selepas masing-masing berkahwin, kami lama tidak berhubung, tetapi beberapa bulan sebelum dia ditimpa ujian itu, dia telah menghubungi saya.  Dan sejak itu, saya dan seorang lagi sahabat rapat selalu berhubung.  Kami juga kerap berjumpa samada berkumpul bersama keluarga ataupun bersendirian.  Kami bertiga memang rapat semasa belajar dulu.  Tidak saya sangka rupa-rupanya Allah merapatkan hubungan kami ketika itu hanya untuk menggembirakan arwah di saat-saat akhir usia arwah.  Saya masih ingat lagi ketika arwah Na menelefon saya memberitahu yang keputusan biopsi yang diterima adalah positif kanser paru-paru Stage 3.  Saya waktu itu tidak terkata apa, terkejut bila mendengar berita tersebut.  Tetapi suara arwah sedikit pun tidak  ada nada sedih.

Ketika itu saya baru berumur 36 tahun dan itulah kali pertama saya berdepan dengan keadaan kawan sendiri yang ada kanser.  Hujung minggu itu, kami sahabat-sahabat semua melawat beliau.  Ada yang menangis berpelukan dengan beliau.  Masakan tidak menangis kerana beliau masih mempunyai anak-anak yang masih kecil. Tetapi dia cuma bagi tahu jangan menangis ye.  Sepatutnya dia yang bersedih bukan kami.  Bila saya dengar ucapan yang keluar dari mulut dia itu, saya memang cuba untuk tidak  menangis.  Setiap kali melawat beliau di hospital, saya memang menahan untuk tidak menangis.  Ketika arwah berjuang untuk melawan kansernya itu, dia masih sempat pergi melakukan umrah bersama suami.  Memang saya rasa yang dia akan bertahan lama kerana semangat dia untuk melawan penyakit itu memang kuat.  Sememangnya dia sungguh redha dengan ujian yang menimpa dirinya.  Setiap kali berjumpa, senyuman tidak pernah lekang di bibirnya.  Di waktu kanser makin merebak, suaranya pun sudah tidak begitu kedengaran dengan kuat.  Tetapi, dia masih boleh menghantar sms memberitahu saya supaya untuk tidak call dia tapi sebaliknya hanya ber-sms kerana dia sudah tidak boleh berborak di telefon.  Namun, Allah lebih sayangkan dia.  Setelah 2 tahun berjuang, arwah pergi meninggalkan kami.  Pada hari itu, saya sedikit pun tidak mengeluarkan airmata.  Bukan tidak bersedih, tetapi seolah-olah masih mendengar pesanan arwah untuk tidak menangis.  Tetapi selepas sehari berlalu, kesedihan ini datang dengan sendirinya.  Ketika di pejabat, perasaan sayu datang setiap kali teringat sahabat ini dan airmata terus mengalir.  Moga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan hamba-hamba yang beriman.  Al-fatihah.

Pemasaran Online vs Pemasaran Offline

Teks : Aishah Hussein

Pemasaran adalah elemen  penting dalam menentukan kadar jualan sesuatu produk.
Mempromosi dan menjual produk adalah sebahagian dari pemasasaran.  Pemasaran produk boleh dilakukan secara offline (konvensional) atau pun online.  Di dalam entri yang lepas saya telah bincangkan teknik promosi iaitu salah satu kaedah pemasaran, yakni kaedah penyebaran maklumat tentang produk.  Kaedah-kaedah yang saya senaraikan di sana ada yang gunakan secara online dan juga offline (konvensional).

Apakah pemasaran online  dan offline?

Apa perbezaan antara kedua-duanya dan kelebihan masing-masing?

Apa kelebihan dan kekurangan pemasaran online berbanding offline.

Pemasaran Online

1. Sebaran maklumat produk melaui internet.  Kaedah yang digunakan seperti facebook, blog  dan twitter.  

2. Tidak perlu  memiliki sebuah kedai yang sebenar.  Modal dapat dijimatkan kerana tidak perlu menyewa premis kedai.  Kedai alam maya hanya boleh dimiliki secara percuma dengan menggunakan blogger atau Wordpress.  Bila bisnes sudah maju, mungkin bolehlah mula fikirkan utk domain berbayar.  Tetapi bila menggunakan kedai alam maya begini, pemilik perlu mengemaskini blog secara konsisten dan mempunyai daya inovasi yang tinggi.  Ini adalah perlu kerana pelanggan akan cepat rasa jemu bila lihat kedai yang tiada perkembangan.


3. Lakukan bisnes/jualan secara online.  Cara ini banyak memberi kelebihan, bukan sahaja kepada pemilik tetapi juga kepada pembeli.  Kedai alam maya sebenarnya seolah-olah tidak pernah ditutup.  Kedai boleh diakses 24 jam oleh pelanggan di seluruh dunia.  Tidak mengira masa dan tempat.  Ia mampu  membentuk jaringan jualan secara global sehingga seolah-olah tanpa batasan.  Jadi proses belian dan jualan sentiasa berjalan.  Pemilik mungkin tidak online sepanjang waktu, tetapi sebaik sahaja membuka laptop sudah ada tempahan yang menunggu.  Ditambah dengan kemudahan teknologi yang canggih yang ada sekarang.  Ke mana-mana kita pergi sudah boleh ber-online.  Janji ada wifi atau broadband dan juga peralatan seperti Ipad, Tab ataupun Smartfon.  Tidak perlu lagi menggalas bag laptop yang berat-berat.

 
 4. Pengurusan syarikat dilakukan oleh kita sendiri.  Tidak perlukan pekerja.  Ini dapat menjimatkan kos perniagaan dan juga mengelakkan penipuan pekerja yang tidak jujur.

5. Pengurusan perniagaan dengan pelanggan ataupun pembekal boleh dilakukan bila-bila masa dan di mana-mana.  Hanya melalui emel ataupun melalu chatting.  Tidak perlu berjumpa dengan pelanggan.    Hanya urusan penghantaran ke pejabat pos atau kurier sahaja yang perlu dilakukan.  Bagaimanapun, pemilik boleh tentukan di mana segala urusan penghantaran hanya akan dilakukan contohnya 2 kali dalam seminggu.  Ini banyak menjimatkan masa.  Inilah yang banyak digemari oleh suri rumah yang berniaga home-based kerana sebab utama mereka pilih bisnes itu adalah kerana mereka mahu melakukan bisnes sambil menjaga anak-anak di rumah.  Tidak perlu keluar rumah tapi dapat menjanan pendapatan.

6. Fasiliti urusan perbankan masa kini juga semua boleh dilakukan secara online.  Jadi urusan pembayaran lewat oleh pelanggan juga tidak lagi timbul.  Tiada bukti pembayaran tiada barang.  Pilihan bayaran juga sudah banyak sekarang contohnya seperti paypal, kad kredit atau pun debit kad.  Terpulang kepada pemilik untuk memilih dan memberikan pilihan pembayaran  kepada pelanggan.




Saya akan sambung dengan Kelebihan Pemasaran Offline di dalam entri  akan datang….

Friday, March 22, 2013

Teknik Promosi

Teks : Aishah Hussein
Foto: Carian Google

Setelah pembaca sekalian membuka bisnes masakan dan telah menghasilkan produk, bagaimana pula kalian nak bagi tahu orang lain tentang kewujudan produk kalian.  Sekarang kita perlu memikirkan cara untuk mempromosikan produk pula.  Kalau tidak ada promosi, orang tidak tahu.  Kalau tidak tahu, tidak ada jualan.  Macam mana nak jana pendapatan kalau tiada jualan.  

 
Oleh kerana kita baru sahaja memulakan bisnes kecil-kecilan, pelaburan untuk teknik promosi yang kita gunakan biarlah yang tidak memerlukan kita mengeluarkan bajet yang besar.  Pilih yang percuma sebaiknya.

1.  Bina Blog
 Bina blog yang boleh digunakan tanpa bayaran.  Dua platform yang selalu digunakan adalah Blogger dan Wordpress.  Cari informasi di internet bagaimana nak membina blog yang boleh menonjolkan bisness kalian.  Atau boleh mendaftar dengan mana-mana kelas membina blog.  Contohnya seperti yang saya ikuti sekarang Kelas Asas Blog.

2. Laman Sosial  
Guna media social yang juga tidak dikenakan bayaran untuk mempromosikan produk kalian.  Laman social seperti Facebook dan Twitter adalah antara yang paling top digunakan dan mempunyai daya kuasa untuk menyebarkan promosi produk dengan cepat.  Dan yang penting ianya percuma. Di dalam laman Facebook kalian boleh bina Fanpage dan jadikan ia sebagai kedai alam maya. Promosikan produk kalian di situ.

3.  Laburkan sedikit wang untuk iklan di akhbar-akhbar.  Tidak perlu ambil ruang iklan yang besar.  Ambil hanya ruang yang kecil sahaja agar bayarannya tidak membebankan kita. Ada juga slot iklan di internet yang anda boleh cuba, contohnya lelong.com atau di forum yang membenarkan ahlinya mempromosi produk secara percuma.

4. Buat promosi di kawasan sendiri
Selalunya kita terlepas pandang tentang apa yang hampir dengan kita.  Tanpa kita sedar sebenarnya pelanggan potensi kita hanya ada di sebelah rumah sahaja.  Jadi buat prmosi dengan meletakkan flyer dan brochure di dalam peti surat jiran-jiran di kawasan perumahan anda.

5.  Buat kad bisnes
Tempah kad bisnes dan kepilkan kad setiap kali pelanggan membeli produk anda.

6.  Buat sampel 
Sewa gerai kecil di pasaraya-pasaraya dan bawa sampel-sampel produk untuk diagihkan kepada pelanggan yang lalu-lalang di sekitar pasaraya tersebut.  Pelanggan dapat menilai terus mutu produk kita dan akan terus membeli di situ atau pun membuat tempahan di masa akan datang.  Jangan lupa selitkan sekali flyer atau brochure dan juga kad bisnes supaya pelanggan ada rujukan untuk membuat tempahan di masa akan datang.

7.  Menaja atau menderma
Hantar produk-produk ke majlis-majlis di sekolah anak-anak anda atau pun majlis-majlis di surau dan di pejabat.  Jangan lupa labelkan dengan stiker di bekas-bekas produk supaya mereka yang berminat akan terus dapat menghubungi kita untuk tempahan.
 
8.  Cetak Kemeja-T atau bag kertas
Print nama blog/nama syarikat pada kemeja-T.  Untuk waktu awal bisnes, Kemeja-T hanya dipakai oleh keluarga terdekat sahaja untuk tujuan promosi.  Dan bila sudah maju, boleh laburkan untuk membuat bag kertas yang dicetak dengan nama syarikat.  Bag kertas boleh diberikan kepada pelanggan yang membeli produk sewaktu ada promosi ataupun mereka yang membeli produk yang banyak.


Murtabak Raja - 22.03.13

Teks : Aishah Hussein
 
Sudah menjadi kebiasaan, saya akan mengambil sarapan yang ringan sahaja.  Air milo yang dicampurkan quacker oat atau pun air milo dicicah bersama biskut cream cracker.  Cukup untuk melapik perut sebelum makan tengahari nanti.  Tetapi pagi semalam, saya bersarapan dengan sarapan yang eksklusif sedikit. 

Rezeki jangan ditolak, bala jangan dicari.  Dua hari lepas, seorang jiran datang menghantar buah tangan kepada saya.  Katanya Murtabak Raja.  Saya selalu dengar nama Murtabak Raja disebut-sebut oleh kawan-kawan dan juga di internet.  Apa hebatnya Murtabak Raja ni ye.  Saya sendiri tak pernah rasa dan melihat rupanya.  Yang saya cuma tahu Murtabak Raja adalah lebih tebal dari murtabak biasa dan harganya lebih mahal.  Jika murtabak biasa harganya dalam lingkungan RM2-2.50 tetapi harga Murtabak Raja boleh mencecah ke RM14.00 sekeping.  Memang mahal tetapi jika saya bandingkan dengan Murtabak Raja yang saya dapat dari jiran ini, ia memang kena dengan harganya.


Murtabak biasa hanya mengandungi inti yang biasanya diperbuat dari daging atau ayam cincang (minced) yang dimasak bersama bawang dan mungkin sedikit rempah. Dibancuh bersama telur dan dibungkus dengan sekeping tepung roti canai.  Murtabak Raja yang saya makan ini adalah terdiri dari 2 lapis murtabak biasa menjadikan ia satu keping lapis murtabak yang tebalnya lebih kurang 1 1/2 inci.  Dan inti di dalamnya memang penuh dengan daging dan rasanya memang sedap.  Memang patutlah ia dipanggil dengan gelaran itu.

Oleh kerana jiran saya memberi bungkusan Murtabak itu waktu petang, jadi saya simpan di dalam peti sejuk di bahagian bawah sahaja.  Esok paginya saya cuma panaskan di dalam oven berkongsi sarapan bersama Hikari(kucing jiran).  Kerana saya percaya rezeki yang Allah beri adalah untuk dikongsi bersama.  Bukankah satu rezeki yang kita sedekahkan, akan datang sepuluh kali ganda rezeki kepada kita.

Mulakan amalan sedekah secara ikhlas setiap hari secara konsisten.  In shaa allah  rezeki anda juga akan bertambah setiap hari.

Thursday, March 21, 2013

Apa itu Bisnes Kek

Teks: Aishah Hussein
Foto: Carian Google

Menjual kek dari pelbagai jenis.  Antaranya Kek Hiasan Buttercream, Kek Hiasan Fondant, Chocolate Moist, Kek Karot, Kek Red Velvet, Muffin, Kek Cawan, Kek Pisang dan Kek Butter.

 Bisnes kek boleh beroperasi dari rumah (home-based) atau pun di rumah-rumah kedai.  Untuk sesebuah bisnes kek beroperasi, perlu ada peralatan yang lengkap. Untuk bisnes secara home-based memadai memiliki mesin pengadun yang bersaiz sederhana.  Tetapi bagi bisnes yang beroperasi di kedai perlu ada peralatan yang bersaiz besar.

Peralatan yang wajib bagi bisnes kek
Pengadun Kek bersaiz besar

Pengadun Kek bersaiz Kecil


Stand Oven

Oven Industri
Untuk memperkenalkan produk, kita boleh memberinya kepada jiran-jiran atau rakan-rakan sepejabat untuk mendapat maklum balas tentang produk kita.  Ini juga boleh dikira sebagai teknik pemasaran.

Promosi produk-produk kek juga boleh dilakukan secara online iaitu melalui blog atau facebook serta mengedarkan risalah-risalah yang mempromosikan kedai kek kita.  Kita juga boleh membuka gerai-gerai kecil di supermarket-supermarket untuk menjual kek-kek sambil memberikan sampel-sampel kek untuk pelanggan rasa sebelum membelinya.  Dengan cara itu, pelanggan akan terus dapat menilai mutu kek-kek tersebut.

Kemahiran Memasak

Teks : Aishah Hussein
Foto: Carian Google
  
Skop bisnes masakan ini begitu luas.  Antaranya bisnes bakeri, katering, kuih-kuih tempatan dan  lain-lain.  Dan di dalam jenis-jenis itu pulak boleh lagi dipecahkan kepada beberapa kategori lagi.  Contohnya bakeri boleh terbahagi kepada kek, cupcake, pastry dan idak terkira banyaknya.  Tidak kira apa jenis cabangnya, bisnes masakan ini boleh dilakukan di rumah (home based) ataupun di kedai.   Tetapi walau di manapun ia dijalankan, seseorang itu perlu ada beberapa kemahiran sebelum dia memulakan bisnes tersebut.  Kemahiran tersebut perlu ada sebelum kita mengambil langkah untuk membuat bisnes masakan bagi memastikan bisnes kita stabil dan berdaya saing dengan rakan-rakan niaga yang lain dan mampu bertahan dalam apa juga keadaan.
Sebelum memulakan bisnes masakan, seseorang itu wajib ada kemahiran memasak. 
Contohnya jika ingin membuka bisnes bakeri, seseorang itu patut mendalami ilmu bakeri itu sendiri.  Sekarang sudah banyak kelas-kelas yang dianjurkan oleh chef-chef mahupun individu yang mahir memasak.  Dengan bayaran sebanyak RM150-250, kita sudah boleh belajar 2-3 jenis kek ataupun kuih moden.  Tetapi jika untuk masakan nasi berserta lauk mungkin mahal sedikit harganya.  Kalau dulu, kelas-kelas masakan kek-kek ini hanya dipelopori oleh kaum Cina tetapi kini sudah ramai kaum bumiputera yang memonopoli dunia bakeri.  Jadi kita tidak perlu risau akan status kehalalan bahan-bahan yang mereka gunakan di dalam kelas.

Kadang-kadang kita rasa ilmu yang kita cedok dari internet, tanpa berguru sudah cukup kuat untuk kita memulakan bisnes masakan.  Tetapi bila kita berguru, kita akan diajar dan didedahkan dengan tips yang berguna seperti pemilihan bahan-bahan masakan dan di mana kita boleh dapatkan bahan-bahan yang halal.  Guru-guru ini juga akan ajar teknik-teknik yang betul ketika memasak untuk menghasilkan masakan yang sedap dan menarik pelanggan.  Kalau kita bernasib baik dan dapat guru yang tidak lokek berkongsi ilmu, macam-macam tips lagi akan dikongsi sewaktu kelas.  Dan yang paling penting, di dalam kelas-kelas itu juga kita boleh kembangkan networking kita, secara tidak langsung boleng mengembangkan pasaran bisnes kita.  Sebenarnya jangan fikir orang-orang yang tiada atau kurang kemahiran sahaja yang akan hadir ke kelas-kelas sebegini.  Melalui pengalaman saya, ramai tukang masak yang sudah mahir pun masih menghadiri kelas-kelas masakan bagi menambah ilmu di dalam bidang yang mereka masih belum mahir.  Jadi kenapa pula kita yang masih sedikit ilmu harus merasa malas untuk menambah ilmu.  Semakin banyak kita belajar semakin banyak yang kita tidak tahu rupanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...