Thursday, September 19, 2013

Berniaga kerana Allah

Teks: Aishah Hussein
Foto: Carian Google


Semalam, setengah hari di Kuala Lumpur menyelesaikan urusan visa along dan beberapa urusan lain.  Alang-alang sudah ke KL.

Dalam perjalanan mendengar siaran radio di IKIM, Prof Muhaya bercerita tentang topik Celik Mata, reset Minda Orang Berniaga.

Antara yang menarik yang sempat saya dengar dan ingat (maklum sambil mendengar sambil melihat google maps mencari lokasi tempat untuk dituju), pesan beliau untuk berniaga kita perlu lakukan lillahi taa'la.  Apa-apa yang kita lakukan kerana Allah, inshaallah kita akan berjaya. Perlu yakin kepada DIA.   Rezeki itu semua datang dari DIA, jadi harus bersangka baik kepada Allah yang DIA akan beri rezeki itu apabila tiba masanya.

Berniaga juga perlu ikut cara rasulullah berniaga.  Dalam apa jua bisnes kita juga perlu jujur. Apabila kita tidak jujur, rezeki yang kita dapat dan berikan kepada ahli keluarga untuk makan akan datang dari sumber yang tidak halal.  Nauzubillah.  Dibimbangi ia akan menjadi mudarat kepada diri kita, anak dan juga isteri.  Walaupun untung beribu-ribu tetapi tidak berkat, rezeki yang kita dapat tidak akan lekat pada kita.  Ada sahaja jalan yang Allah akan tarik rezeki kita, anak sakit, kereta kena pecah cermin, atap rumah terbang dan macam-macam lagi.

Dan ini juga perlu diingatkan bukan sahaja kepada orang berniaga.  Kepada yang makan gaji di pejabat juga perlu ingat tentang kejujuran masa yang kalian gunakan di pejabat.  Adakah kalian bekerja atau main game sewaktu masa bekerja.  Semua itu juga akan mengundang rezeki yang tidak berkat kepada pendapatan kalian.



Saya tertarik dengan  satu benda yang Prof Muhaya tekankan.

Orang berniaga perlu jaga solat.  Solat itu perkara penting dalam mencegah perbuatan keji dan kemunkaran.  Dengan tersendirinya, kita akan jujur dalam perniagaan kerana kita lakukan semua kerana Allah dan mentaati perintahnya setiap kali kita diseru untuk mengerjakan solat.  Pada hakikatnya ketaatan kita diuji ketika laungan azan berkumandang.  Sama ada kita taat kepada panggilanNYA atau pura-pura tidak mendengar.

Jelas beliau, senang untuk melihat orang berniaga betul-betul menjaga solat.  Apabila azan berkumandang, lihat sama ada mereka masih berniaga atau terus meninggalkan tempat berniaga dan menuju ke tempat solat.  Itu adalah usahawan yang betul-betul menjaga solat.  Maksud menjaga solat bukanlah sekadar hanya mengerjakan solat tetapi solat tepat pada waktu nya. Astaghfirullah.  Ramai masih lemah bila masuk bab ini, termasuk saya sendiri.  Mari kita cuba sama-sama perbaiki diri kita, moga apa yang kita usahakan di dunia ini diberkati Allah.

Bagi pemilik-pemilik kedai makan, cubalah sebaik mungkin susunkan masa membenarkan pekerja-pekerja kalian mengerjakan solat.  Terutamanya ketika waktu solat Maghrib.  Memang sukar ketika ramai pelanggan di kedai, semua pekerja tinggalkan kedai untuk ke surau pula. Tetapi cubalah fikirkan cara yang terbaik untuk pekerja kalian supaya mereka diberi peluang untuk beribadat.

Saya petik kata-kata Prof Muhaya lebih kurang begini bunyi nya, "beri peluang pekerja kita untuk masuk syurga,  seperti mana kita juga ingin masuk syurga".

Sebenarya semua ini bukan sahaja sesuai untuk orang berniaga tetapi juga harus diamalkan oleh semua orang.  Moga kita sama-sama berusaha untuk memelihara rezeki yang kita perolehi agar ia menjadi rezeki yang berkat di sisiNYA.





1 comment:

  1. Betul tu. Dulu selalu rasa bersalah buka FB time kerja. Sekarang tidak lagi sebab dah kerja dari rumah.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...