Saturday, September 28, 2013

Masak Kurma Telur

Teks: Aishah Hussein


2 hari lepas, bila saya sebut di status facebook tentang kurma telur, ada juga yang tidak tahu rupanya kurma telur.  Mungkin bukan tidak tahu tetapi jarang dihidangkan.  Yang biasa kita makan adalah Masak Kurma Ayam atau Daging.

Di rumah saya, kurma memang jarang dimasak sebab kurang diminati, setakat layan ajelah.  Saya sendiri pun hanya suka kurma daging.  Tetapi bila sebut kurma ni, saya memang terkenang-kenang masak kurma ayam arwah pengasuh anak saya.  Memang sangat mengancam.  Yang saya masak sendiri memang saya rasa tidak mengancam sangat.  Arwah memberitahu saya, kalau nak buat masak kurma, guna rempah kurma cap O, baru sedap.  O oo.

Jadi sejak itu, memang saya hanya gunakan rempah kurma cap O lah.  Memang nampak beza lah dengan masak kurma saya yang lama.  Entahlah, tetapi yang penting keluarga suka :)
Apabila sudah jemu dengan ayam dan ikan, jadi lah Masak Kurma Telur.


Bahan-bahan

5 biji telur direbus (boleh digoreng telur yang telah direbus, jika suka)
1/2 cawan minyak
4 sudu besar kurma dicampur dengan air
2 biji bawang putih - ditumbuk
4 biji bawang merah - ditumbuk
2 inci halia - ditumbuk
1 1/2 cawan santan pekat
1 biji tomato
2 biji cili merah / cili hijau dibelah
1 biji bawang besar dibelah empat
2 biji kentang
2 sudu besar air asam jawa/3 sudu besar yogurt
Rempah
1 batang kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
2 bunga lawang
Garam secukup rasa
Sedikit gula


Cara-cara
1.  Panaskan minyak di dalam periuk.
2.  Tumis bawang merah, putih dan halia yang telah ditumbuk.
3.  Masukkan bunga lawang, kulit kayu manis dan buah pelaga.
4.  Apabila sudah naik bau, masukkan rempah kurma.  Tumis sehingga garing.
5.  Masukkan sedikit 1/2 cawan air.  Kemudian masukkan kentang.
6.  Biarkan sehingga kentang empuk .
7.  Masukkan santan dan air asam jawa/yougurt.  Masukkan juga garam dan gula.
8.  Apabila sudah menggelegak masukkan telur dan bawang besar.
9.  Setelah hampir masak, masukkan tomato dan cili besar.

Sama caranya seperti masak kurma daging dan ayam cuma, jika daging perlu dimasak sehingga empuk baru dimasukkan santan.



Pakej promosi 3 ebook:
1) Super WAHM, Super Mom
2) Belajar Asas Blog
3) 101 Idea Bisnes Makanan

Harga promosi RM105

2 comments:

  1. Ada ke rempah kurma o..tak pernah jumpa pun...nak tgk boleh

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dalila. rempah Kurma O ni banyak ada di utara. Bukan sahaja rempah kurma, rempah kari ayam dan ikan pun ada. Dulu akak beli di Giant dan hanya ada paket besar. Sekarang semua dah tak ada. Mungkin kedai-kedai runcit yang kecil ada jual.

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...