2 hari lepas, semua rakyat Malaysia kecoh dengan kenaikan harga minya RON95. Rata-rata mengeluh, risau harga barang akan naik akibat dari kenaikan harga minyak. Selalunya begitulah turutannya.
Namun, saya lebih selesa untuk tidak mengeluh. Apa yang negatif itu kita pulangkan kepada Allah. Jika kita bising di facebook dan merungut, segala aura negatif akan membuat kita akan jadi lebih resah dan gelisah. Jika kita bising pun, harga tidak akan turun. Kita diberi peluang setiap 5 tahun untuk merubah keadaan ini, tepuk dada tanya selera. Moga negara kita akan jadi lebih baik pada masa akan datang dan slogan "Rakyat didahulukan itu" bertepatan dengan kehendak rakyat.
Dua, tiga hari ini sebenarnya saya banyak memikirkan tentang masa depan pelajaran Along. Hujung minggu lepas, kami telah diberi taklimat tentang langkah-langkah dan opsyen yang kami ada untuk masa depan para pelajar di Mesir. Setelah habis taklimat, saya seperti rasa tiada jalan penyelesaian, kerana saya tahu hati anak-anak ini sebenarnya ingin pulang ke bumi Anbiya'. Saya sendiri juga inginkan Along supaya teruskan pengajian di sana. Tetapi di atas faktor keselamatan, kami rasa berat hati juga untuk lepaskan Along. Lebih-lebih lagi perempuan, memandangkan bermacam-macam versi cerita yang dikhabarkan.
Setiap hari Along bertanya,
"Ibu dengan ayah dah buat keputusan ke?"
"Ibu ayah suruh saya pergi sana atau belajar sini aje?"
Di sudut hati memang kalau boleh nak suruh dia pulang aje. Tetapi saya lebih suka jika keputusan dibuat atas dorongan dari DIA.
Seperti biasa, apa yang saya katakan pada Along, beristikharahlah kepada Allah. Sesungguhnya, Dia yang lebih mengetahui apa yang terbaik buat kalian semua. Walaupun hati ingin pulang ke Mesir, tetapi jika Allah kata di Malaysia adalah yang terbaik, maka itulah yang akan didorongkan. Mohon petunjuk, sekiranya memang Mesir yang terbaik, inshaallah, Allah akan lorongkan jalan yang mudah.
Sambil berserah kepada Allah, usahalah dan hubungilah kawan-kawan. Tanya berapa ramai yang hendak pulang ke sana. Jika ada, sepakatlah balik pada tarikh yang sama supaya dapat bergerak dalam kumpulan yang besar.
Ada antara rakan-rakan sebilik Along yang
bersepakat untuk pulang ke sana. Malah ramai lagi anak-anak yang lain
juga rupanya ingin pulang ke Mesir, tetapi mereka kelihatan seperti belum nekad dengan keputusan mereka. Hati seorang ibu ini juga masih berat untuk melepaskan mereka memandangkan semuanya perempuan.
Alhamdulillah, 2 hari kemudian, pihak pelajar di Mesir juga sudah memaklumkan ada kemudahan bas disediakan dari Cairo ke univesiti mereka. Satu demi satu Allah lorongkan. Jika sebelum ini nampak susah untuk Along, tercari-cari rakan. Tetapi apabila kita serahkan usaha ini kepada DIA, ia menjadi mudah. Allah dorongkan seorang pelajar untuk mengetuai kumpulan mereka dan berbincang tentang kepulangan mereka ini. Dan kini nampaknya lebih ramai lagi pelajar yang respon untuk pulang bersama mereka.
Syukur juga kerana kami dikurniakan agen yang memang komited dan banyak membantu pelajar-pelajar, moga segala-galanya dipermudahkan untuk Ummi dan anak-anak ini.
Sejak semalam, hati ini rasa lebih lega sedikit dengan perkembangan ini. Moga bumi Mesir kembali aman dan anak-anak kita dapat meneruskan pengajian dalam bidang masing-masing.
No comments:
Post a Comment