Monday, October 21, 2013

Bisnes katering mula dari rumah

Teks: Aishah Hussein
Foto: Carian google

Alhamdulillah syukur di atas segala rezeki dan nikmatNYA.  Semalam biras bertandang ke rumah satu keluarga.  Daging korban dijadikan sup untuk hidangan tengahari.  Masih ada lagi berbaki daging korban, simpan dahulu.  Hari ini perlu tukar menu ikan atau telur.  Bukan tidak bersyukur tetapi bagi lemak-lemak keluar dari badan dahulu :)

Sejak saya menulis di blog, setiap hari pencarian di google yang dicari pembaca yang menemui blog saya adalah bisnes makanan.  Alhamdulillah dengan 2 carian ini di google, blog saya masuk ke dalam senarai carian 10 teratas.  Bagaimana saya lakukannya, saya akan kongsikan di dalam entri yang lain.  Jika berminat, anda juga boleh daftar di kelas asas blog bersama saya.

Berbalik kepada carian pembaca tadi.  Bagi yang tercari-cari bisnes makanan yang mudah untuk dibuat dari rumah, saya sangat-sangat cadangkan bermula dengan apa yang kita selalu buat untuk keluarga atau apa yang kita suka buat sebagai hobi.  Konsep bisnes makanan dari rumah sama sahaja seperti untuk bisnes yang lain.

Mulakan dengan apa yang kita suka
Bagi suri rumah yang jadikan memasak sebagai hobi, amat mudah bagi golongan ini untuk mengubah ia menjadi pekerjaan sampingan yang menjana pendapatan.  Pertama kerana mereka minat dengan apa yang mereka buat.  Walau ada dugaan yang datang, mereka tidak akan cepat mengalah kerana ia berasal dari hobi.  Apabila kita mula bisnes dengan hobi, ia akan jadi suatu yang menyeronokkan.

Kedua, golongan ini sudah biasa dengan memasak.  Jadi mereka ini hanya perlu masak apa yang mereka sudah biasa masak.  Untuk permulaan, mereka tidak perlu buat menu masakan yang tidak pernah mereka masak.  Cukup mula dengan lauk-pauk yang biasa mereka masak untuk keluarga.   Jadi ia akan jadi seperti masak untuk keluarga tapi dalam jumlah yang banyak.


Mula dengan apa yang ada
Mula bisnes makanan dari rumah tidak memerlukan modal yang ribu-riban.  Mulakan dengan modal yang kecil sahaja.  Seperti yang pernah saya cerita dahulu di Bisnes Pack Lunch, untuk menjimatkan modal, anda boleh tinjau dulu kawasan yang ingin bisnes atau jual produk.  Buat tinjauan di kawasan perumahan atau pejabat.  Dan tawarkan menu yang mudah-mudah dibuat dahulu.  Untuk nasi campur, buat pakej ayam goreng/ayam berkuah, sayur dan sambal belacan.  Menu ini sahaja sudah cukup untuk buat pelanggan berulang kali menempah sekiranya masakan itu sedap dan bersih.

Sekiranya ada tapak untuk berniaga, boleh buka meja di mana-mana, goreng ayam di situ sahaja.  Memang akan beratur panjang pelanggan sebab selalunya orang suka makan ayam goreng yang panas-panas.  Tetapi bersiap-sedia untuk dikejar Majlis Bandaraya kerana berniaga seperti itu memerlukan permit.

Semasa saya bekerja di pejabat dulu,  warung nasi kakak ini memang ramai orang.  Kalau pergi pukul 1pm ke atas memang selalu berebut lauk.  Lauk yang dijual memang ringkas, ayam goreng, sayur berkuah, ikan goreng dan sambal belacan. Baru-baru ini juga saya jumpa satu lagi di kawasan belakang bangunan PNB, KL.  Semasa saya pergi ke PNB memang dari jauh kelihatan barisan panjang beratur untuk membeli nasi campur.  Apabila saya tinjau rupa-rupanya ayam digoreng di situ.  Tetapi jika ingin goreng di situ, perlu ada pembantu.  Jika seorang yang jaga, memang akan adalah orang yang makan ayam berdarah kerana kurang masak.

Mungkin ada yang melihat, kalau jual nasi ayam goreng, kuah sayur dan ulam, berapa ringgit ajelah untung yang kita dapat.  Walau untung sedikit tetapi jika banyak tempahan yang kita dapat jual bukankah itu juga akan jadi keuntungan besar.  Cuba anda bayangkan sebungkus nasi campur itu anggaran harga RM5.50.  Jika ada 50 orang dari pejabat-pejabat yang menempah/membeli sudah RM275.00, jika 100 orang sudah berapa.  Baru sehari, kalau 20 hari bekerja cubalah kira sendiri.


Dan jangan lupa dari sini juga boleh bermula bisnes katering.  Apabila pelanggan mula suka dengan lauk yang kita masak, mereka akan mula bertanyakan untuk menempah buat jamuan kenduri atau majlis tahlil.  Ketika itu, usah risau fikirkan modal.  Anda boleh minta wang pendahuluan 50% dari pelanggan untuk membeli bahan-bahan mentah dan kelengkapan lain.  Bisnes katering atau pun tempahan makanan adalah bisnes yang dikira sudah laku dijual.  Kerana pelanggan memang sudah tentu akan mengambil apa yang mereka tempah.  Tambahan wang pendahuluan sudah dibayar.  Selepas selesai penghantaran tempahan atau selesai majlis, anda akan dibayar penuh baki dari harga tempahan.

Secara dasarnya, memang senang untuk bisnes dari rumah sahaja.  Tetapi perlu ada pengurusan dan pembahagian tugas di antara majikan dan pembantu.  Pembantu mungkin pasangan atau adik-beraadik dan anak-anak sahaja untuk permulaan.  Anda mungkin hanya perlu uruskan bahagian memasak, yang lain-lain mesti diuruskan oleh suami dan pembantu.  Tujuan kita adalah supaya dapat bekerja di rumah disamping menjaga anak-anak.  Jadi perlu uruskan pengagihan tugas dengan sebaiknya.

Promosi
Apabila masak-masak untuk keluarga atau jamu kawan-kawan dan saudara, kita boleh promo dan war-warkan tentang bisnes kita.  Beritahu mereka yang kita ada ambil tempahan.  Tidak usah malu-malu.  Bila sudah yakin boleh terus buat bisnes kad dan berikan kepada rakan-rakan dan saudara-mara.

Kalau masakan yang kita masak kepada pelanggan memang memuaskan hati pelanggan, promosi akan berjalan dengan sendirinya dari mulut pelanggan-pelanggan kita ke rakan-rakan mereka.  Inshaallah, dengan niat untuk membantu keluarga dan mendapat rezeki yang berkat, Allah akan menjadi sales promoter kita.



Beli salah satu e-book di bawah:-
1) E-book asas blog 
2) E-book panduan mula bisnes butik. 

Buat ulasan e-book tersebut, hantarkan kepada saya,
Dan anda layak mendapat HADIAH PERCUMA EBOOK 101 IDEA HOME BASED BISNES.
Jangan lepaskan peluang keemasan ini.
**PROMOSI ->>> sehingga 31 Oktober 2013 sahaja.


2 comments:

  1. Apa pendapat admin tentang kerja online atau affiliate produk kesihatan. 1 order 8 usd. Jual malaysia?. saya ada peluang keduanya kalau admin minat. Jemput ke blog saya utk kongsi idea


    [Jemput ke blog saya untuk tips Kerja Part Time Online]

    ReplyDelete
  2. Terbaikk perkongsian sis.. sy baru nak bermula buat bisnis katerer ni.. boleh dijadikan inspirasi

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...