Saturday, October 5, 2013

Cabaran pahit sebagai seorang selebriti chef

Teks: Aishah Hussein
Sumber: Ebook Bonus Kisah Inspirasi Usahawan Bisnes Makanan




Sebenarnya saya meminati bidang masakan ini sejak  dari bangku sekolah lagi.  Tambahan pula, saya datang dari keluarga yang menjalankan perniagaan katering.

Pada mulanya saya belajar bidang Hotel Management dan Kulinari di Middlesex University Of London, setelah itu saya mula berjinak-jinak terjun ke dalam dunia Selebriti Chef sebagai Penulis Buku Resipi. Kini saya telah pun mempunyai 7 buah judul buku resipi di bawah penerbitan PTS Millennia dan Buku Prima (Grup Buku Karangkraf) yang dipasarkan di seluruh Malaysia.  Saya juga telah berpeluang menjadi Pengacara TV bagi Rancangan Masakan di saluran TV2 dan Astro Ria serta pernah diundang ke beberapa rancangan masakan di saluran TV1, TVi, TV3 dan TV9.  Dan saya juga pernah menjadi cover muka hadapan untuk beberapa majalah antaranya Majalah Masakan The Cook.

Setelah mula bergiat aktif dalam bidang ini sebagai Selebriti Chef, timbul pula idea untuk memulakan perniagaan dalam bidang makanan.  Dengan pengaruh populariti nama yang sudah ada, saya mulakan perniagaan makanan.  Terlalu banyak pengalaman saya di bidang makanan.  Di Malaysia juga terlalu banyak saingan namun apa yang penting adalah kita perlu bersaing secara sihat dan mengatur strategi perniagaan untuk berjaya.

Terlalu banyak cabaran yang saya hadapi ketika mengusahakan perniagaan makanan ini antaranya ialah cabaran daripada segi emosi dan masa. Saya perlu membahagikan masa saya untuk dunia Selebriti, dunia perniagaan dan pada masa yang sama perlu meluangkan masa untuk keluarga juga.

Apabila kita berada dalam dunia selebriti ini,  tidak tak semua orang suka dan menyenangi kita, jadi kita perlu berusaha untuk menjaga hati semua pihak.  Pengalaman pahit yang tidak dapat saya lupakan adalah sewaktu isu kontroversi mengenai saya keluar di dada akbar dan majalah sehingga menyebabkan kedudukan saya dalam dunia selebriti jatuh mendadak. Saya tidak lagi menerima tawaran  pekerjaan dari mana-mana pihak dan ia turut menjejaskan perniagaan makanan saya.   Kontroversi melampau ini telah membuatkan saya kehilangan kepercayaan kepada para sahabat dan keluarga saya.  Itu adalah antara cabaran yang paling teruk saya pernah lalui.

Yang paling tidak saya sukai adalah apabila antara peniaga bersaing dengan cara tidak sihat.  Menggunakan ilmu hitam dan sebagainya.  Ia akan menjejaskan ekonomi peniaga bangsa itu sendiri.

Walau bagaimana berat cabaran yang saya lalui, saya kuatkan semangat untuk memperkukuhkan empayar dengan mengatasi segala kesulitan yang datang.  Saya bangun dan berdiri semula.  Saya teruskan usaha untuk membangunkan kembali empayar saya dengan pelbagai strategi pemasaran terkini.  Dan kini nama saya telah pun naik semula seperti sedia kala dan telah pun mendapatkan semula kepercayaan daripada para sahabat baik dan keluarga yang merupakan tulang belakang pada kejayaan saya selama ini.

Sememangnya semua peniaga mahukan kejayaan dan mencapai keuntungan yang besar dalam perniagaan mereka.  Bagi saya apa yang saya lakukan adalah atas dasar tanggungjawab bagi mencari rezeki.  Semua kejayaan dan keuntungan yang besar serta populariti yang saya dapat kini adalah satu bonus yang harus saya syukuri.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...