Monday, October 7, 2013

Keracunan Makanan

Teks: Aishah Hussein
Foto: Carian Google



Minggu lepas kita dikejutkan dengan berita keracunan makanan di sebuah kenduri kahwin di Kedah.  4 orang maut dan 270 orang tetamu lagi dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

Ketika saya mendengar berita itu di kaca TV, perasaan risau campur terkejut terus datang di fikiran saya.  Macam tidak percaya pun ada.   Hanya keracunan makanan boleh maut. Risau pula saya mendengarnya.  Selama ini kalau pergi ke kenduri kahwin, makan sahaja semua lauk. Tidak fikir pun pasal lauk itu akan membuat kita keracunan makanan.  Kalau ke kedai memang berhati-hati tetapi kenduri kahwin ambil mudah aje.

Pada pemikiran saya yang cetek ini, keracunan makan hanya cirit-birit dan muntah-muntah. Makan ubat klinik sihat semula.  Tidak terfikir badan akan kekurangan air yang teruk(dehidrasi). Kekurangan air yang melampau boleh membawa maut.  Mungkin juga dulu-dulu hanya dengar keracunan makan hanya berlaku kerana makan di kantin-kantin sekolah.  Ataupun kerana makan di gerai-gerai. Apabila dengar cerita keracunan makanan di kenduri kahwin sampai membawa maut, agak tersentap juga perasaan saya.

Dulu-dulu, kalau pergi kenduri memang selalu diingatkan mak dan kakak, makan di rumah kenduri hati-hati sikit.  Sebabnya ialah memang selalu dengar orang cirit-birit balik dari kenduri.

Gambar Hiasan
Kenapa berlaku keracunan makanan.

1. Bahan mentah memang sudah rosak.
Teori orang-orang tua dulu, sebab-sebab sakit perut (orang tua dulu-dulu tidak tahu nak sebut keracunan makanan) apabila makan kenduri adalah kerana masakan di rumah kenduri itu menggunakan daging kotak (daging dinginbeku).  Tiada penerangan secara terperinci diberikan.

Fakta yang sebenarnya ialah daging kotak bukan daging segar yang baru disembelih.  Ia daging yang disimpan di dalam freezer, mungkin sudah berhari-hari.  Jika tidak betul cara simpan, ia mudah rosak.  Bakteria Salmonella yang terdapat di dalam daging, ayam dan telur akan mudah menyerang bahan mentah tersebut jika ia disimpan pada suhu bilik terlalu lama atau pun melebihi dari 4 jam.  Ia mungkin ada dua kemungkinan. Sama ada daging itu memang telah rosak ketika datang dari pembekal ataupun rosak ketika di dalam penjagaan tuan rumah.

 Yang memburukkan keadaan  adalah apabila mereka sayang hendak buang daging yang sudah busuk.  Sebaliknya, gunakan juga daging yang sudah berbau dan masak seperti biasa.  Ini yang akan mengakibatkan perut-perut tetamu yang sensitif dengan bakteria-bakteria tersebut meragam.

Satu lagi senario ialah, apabila penyediaan bahan mentah perlu disediakan lebih awal sebelum memasak.  Lauk-lauk seperti ayam dan daging perlu dipotong dan dibasuh terlebih awal sebelum dimasak.  Mereka yang kononnya ingin bersiap lebih awal akan memotong dan bersihkan ayam atau daging terlebih awal dan tidak menyimpan semula bahan mentah tersebut pada suhu dingin yang betul.  Ini juga cara yang akan mengundang keracunan makanan.

2. Cara masak dan penyimpanan makanan yang telah dimasak tidak betul
Selalunya, makanan kenduri perlu disediakan awal. Jadi ada yang masak pada malam sebelumnya dan ada yang masak sesudah subuh.  Terutamanya seperti ayam yang perlu digoreng awal sebelum dibuat masak cili.  Ayam-ayam tersebut kadang digoreng tidak betul dan kemudian disimpan di luar begitu sahaja untuk beberapa jam.  Saya pernah lihat sendiri, ayam yang digoreng awal, apabila tiba masa hendak dimasak untuk dibuat masak merah, ayam itu sudah berbau.  Kalau anda sebagai tuan rumah atau tukang masak, adakah anda akan buang semua ayam yang telah busuk.  Atau anda akan selamatkan mana-mana yang agak-agak busuk dan masak seperti tiada apa yang berlaku.

Ada juga yang memasak rendang pada waktu malam.  Apabila tiba siang terlupa untuk memanaskan rendang tersebut dan rendang itu menjadi basi.  Apabila sudah berbau basi, sayang hendak dibuang.  Nanti tidak cukup pula lauk kenduri.  Panaskan sahaja, dengan harapan rendang tersebut hilang bau basi.  Hidangkan sahaja kepada tetamu.

Allahu Akbar.  Di sinilah letaknya kejujuran kita.  Walau tiada orang yang tahu, tetapi sesungguhnya Allah yang tahu.
Persoalannya.  Sanggupkah jika kita sendiri yang memakan ayam yang sudah busuk?
Sanggupkah kita memberi keluarga kita sendiri memakan rendang yang sudah basi?

Foto: kidrus.wordpress.com
         www.kinhealth.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...