Teks: Aishah Hussein
Foto: Carian Google
Alhamdulillah hari ini kembali menulis. Kepenatan melanda setelah pulang dari kenduri di Kedah. Badan yang sudah separuh abad tidak mampu lagi untuk duduk lama di dalam kereta. Kami bertolak sesudah Subuh ke Kedah. Pulang ke Kuala Lumpur pada petang nya. Walaupun hanya en suami yang memandu(kesian dia), tetapi saya yang tidak memandu juga terasa penat kerana kaki tidak dapat berlunjur.
Hari ini kembali kepada rutin harian. Cuti sekolah kali ini saya tidak akan bercuti ke mana-mana. Hanya hadir ke kenduri saudara-mara sahaja. Bulan Disember juga inshaallah akan ke Kedah lagi untuk menghadiri kenduri kahwin. Anak-anak juga faham dengan keadaan ekonomi keluarga yang perlu dikukuhkan dahulu. Mujur anak-anak tidak pernah bising untuk bercuti ke hotel atau ke mana-mana.
Cuti hujung tahun ini adalah kali yang pertama saya berada di rumah bersama mereka sepenuh masa. Syukur dapat meluangkan masa bersama anak-anak walaupun hanya di rumah. Kita sebagai ibu harus bijak merancang masa agar anak-anak tidak hanya habiskan masa dengan bermain game dan menonton tv sahaja.
Bagi yang mampu boleh hantar anak-anak ke program motivasi. Cari program yang mendidik jiwa mereka agar lebih dekat dengan Allah. Bukan setakat seronok bersukan dan aktiviti lasak sahaja tetapi seronok juga dengan pengisian agama.
Bagi yang tidak mampu seperti saya, boleh didik jiwa mereka dengan cara lain. Jika masih ada nenek dan datuk di kampung, boleh bawa mereka ke kampung dan ajar mereka membantu nenek dan atuk. Bagi yang sudah tiada, ajar mereka berkemas di rumah sendiri, bermula dengan bilik sendiri. Seorang ustazah yang pernah saya hadiri kuliah pernah berkata, untuk bersihkan hati anak-anak, suruh mereka membuat kerja-kerja seperti mencuci tong sampah atau membersihkan tandas. Dengan cara itu kita dapat merendahkan ego mereka dan secara tidak langsung mampu membersihkan hati mereka. Pada permulaannya memang mereka akan bising tetapi lama-kelamaan apabila sudah biasa, mereka dengan sendiri sudah tidak lagi akan mengeluh atau rasa geli untuk membuat tugas itu. Kerja-kerja yang lebih senang dari itu juga mereka akan lakukan tanpa mengeluh.
Dulu angah saya memang susah betul bila hendak menyuruh buang sampah tetapi sekarang tugas itu memang menjadi tugas dia tanpa perlu disuruh lagi. Malah banyak lagi tugas-tugas lain seperti menjemur dan melipat kain yang dia akan buat tanpa mengeluh. Kadang-kadang tanpa disuruh dia akan melipat kain yang sudah menggunung. Terima kasih kepada Allah kerana memberi bantuan kepada saya melalui anak-anak.
No comments:
Post a Comment