Sumber: Ebook Bonus Kisah Inspirasi Usahawan Bisnes Makanan
Semuanya bermula secara spontan. Setiap kali balik kampung di Melaka, saudara mara dan kawan-kawan selalu pesan kek lapis, ikan terubuk. Dari situ datang ilham untuk memasarkan produk-produk ini secara online. Saya bermula dengan lawan web yang menyediakan perkhidmatan percuma (blogspot), kemudian ke laman sosial (FB). Selain itu saya turut memasarkan produk kedai saya di laman web yang menyediakan perkhidmatan pengiklanan secara percuma. Almaklum, saya baru sahaja memulakan perniagaan jadi perkhidmatan percuma menjadi pilihan
utama ketika itu.
Kedai Ummie mula beroperasi pada Disember 2009 dengan hanya menjual kek lapis dan terubuk masin sahaja. Pada mulanya memang saya tidak begitu yakin dengan kemampuan saya untuk berjaya. Tetapi galakan dan dorongan suami menjadi pembakar semangat saya. Dengan bilangan dan permintaan dari pelanggan yang semakin meningkat, saya sentiasa berusaha menambah produk-produk baru dari masa ke semasa. Sehingga kini, Kedai Ummie menjual hampir 20 jenis produk-produk makanan dan kraf dari Sarawak.
Kedai Ummie juga pernah mendapat tempahan kek lapis dan terubuk masin dari pelanggan-pelanggan luar negara seperti Birmingham, Austria, Melbourne dan London.
Alhamdulillah, maklumbalas yang diterima amat positif.
Memandangkan produk Kedai Ummie majoritinya terdiri daripada makanan, lebih-lebih lagi yang mempunyai jangka hayat yang singkat, faktor masa menjadi cabaran utama saya. Lebih-lebih lagi tempahan pelanggan dari luar negara yang sudah tentunya memakan masa. Jadi saya memilih syarikat yang menyediakan perkhidmatan penghantaran yang pantas dan bagus rekod penghantaran.
Untuk makluman, kek lapis jika disimpan pada suhu bilik tahan sehingga 4 hari. Manakala terubuk masin pula boleh bertahan sehingga seminggu. Jadi saya perlu memikirkan bagaimana produk dapat sampai kepada pelanggan dengan cepat dan dalam keadaan baik. Berurusan dengan sesetengah pelanggan yang cerewet juga merupakan cabaran yang tidak dapat saya lupakan. Tetapi dengan menggunakan pendekatan 'win-win situation' semuanya dapat diatasi.
'Layan pelanggan sebagaimana kita mahu orang lain melayan kita', selain itu jangan lupa ucapkan terima kasih. Itu antara amalan yang saya selalu lakukan.
Kini Kedai Ummie hampir berumur 5 tahun, Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment