Teks: Mahizan Nani
Sumber: http://mahizannani.blogspot.com/2013/11/ulasan-kelas-asas-blog-dan-fanpage.html
Perkenalan saya dengan Puan Masayu Ahmad, pengasas Akademi Bekerja Di Rumah adalah secara tidak sengaja. Ketika itu, saya berminat untuk menyertai program HEARTS (Housewives Enhancement Reactivate Talent Scheme) anjuran Kementerian Sumber Manusia. Namun saya diberitahu bahawa kelas HEARTS tidak dapat diadakan di utara kerana kurang sambutan. Mereka meminta saya mendaftar kelas di Kuala Lumpur dan sudah tentu mustahil bagi saya untuk mengikuti program tersebut kerana kekangan jarak dan masa. Masa itulah, terlintas di fikiran saya, alangkah seronoknya kalau saya boleh belajar melalui online sahaja dan kebetulan semasa saya melayari blog Norazizah Sudin, saya terjumpa iklan promosi Kelas Asas Blog ini.
Tanpa berfikir panjang, saya menyertai Kelas Asas Blog dan Fanpage ini kerana berminat dengan kelas yang berlangsung secara online dan yang paling penting kerana ia sungguh fleksibel. Kesibukan sebagai surirumah sepenuh masa menguruskan 3 orang anak yang masih kecil tidak membenarkan saya meluangkan masa yang tetap untuk mengikuti kelas. Ada ketikanya saya langsung tidak mempunyai masa untuk diri sendiri kerana setiap anak saya yang berumur 7, 4 dan 1 tahun mempunyai keperluan yang berbeza-beza dan sentiasa memerlukan perhatian saya.
Asalnya, tujuan saya belajar asas blog hanya untuk mengetahui bagaimana cara untuk menarik trafik ke blog kerana walaupun saya pernah mempunyai blog sebelum ini, saya hanya menganggap blog sebagai diari, jadi cara penulisan lebih ke arah meluahkan perasaan sendiri. Setelah menyertai kelas ini, baru saya tahu pendekatan tersebutlah yang membuatkan orang tidak berminat membaca blog kita kerana boleh dikatakan syok sendiri. Kebanyakan orang melayari blog untuk mencari informasi, jadi setiap blog perlu ada hala tuju dan matlamat yang boleh membuatkan follower sentiasa mengikuti apa yang kita tulis di blog.
Sebelum ini, saya kurang keyakinan untuk menceburi bisnes online, tambahan pula tiada seorang pun dari keturunan saya yang berniaga, kebanyakannya bekerja makan gaji (walaupun ayah saya seorang peneroka Felda, namun ayah menerima gaji setiap bulan) namun sebaliknya keluarga sebelah suami saya kebanyakannya berniaga sendiri termasuk ibu mertua yang mempunyai restoran sendiri. Galakkan daripada suami, akhirnya saya mencuba mengendalikan sebuah gerai menjual makanan ringan seperti nugget, burger dan air. Namun dengan keadaan saya yang mempunyai 3 anak kecil, agak sukar untuk menguruskan gerai. Pada mulanya saya mengupah pekerja, namun setiap pekerja ada masalah masing-masing dan akhirnya selepas setahun, saya terpaksa menutup operasi kerana tiada orang yang boleh dipercayai untuk menguruskannya. Sekarang saya menjual serbuk iceblended kepada peniaga-peniaga iceblended namun terhad di kawasan sekitar tempat saya tinggal.
Perkenalan dengan kak Aishah selaku mentor saya, telah memberi keyakinan untuk saya membuat fanpage menjual serbuk iceblended secara dalam talian menerusi jenama NNSNOWBLENDED. Syukur Alhamdulillah, dalam masa 1 hari selepas fanpage dilancarkan, saya mendapat seorang pelanggan dan seorang pelanggan yang berpotensi (potential customer) yang berminat untuk mendapatkan serbuk iceblended saya. Akhirnya, saya berjaya menjual 5 kg serbuk iceblended ke Selangor.
Kepada kawan-kawan yang ingin berblog, sahutlah peluang keemasan ini. Belajar secara berguru amat berbeza berbanding belajar sendiri melalui pembacaan dan tutorial online. Kita akan belajar teknik-teknik penulisan yang positif dan secara tidak langsung informasi yang kita kongsikan menjadi amalan orang lain akan menjadi ilmu yang bermanafaat iaitu saham akhirat untuk kita. Tuntutlah ilmu selagi hayat dikandung badan.
Siapa tahu, mungkin dengan permulaan belajar menulis di blog tidak mustahil satu hari nanti kita akan berjaya menggapai impian dengan bekerja dari rumah di samping dapat membantu keluarga menjana pendapatan tambahan melalui iklan di dalam blog kita. Sesungguhnya tangan yang menghayun buaian juga mampu menggoncang dunia.
No comments:
Post a Comment