Tek: Aishah Hussein
Alhamdulillah.
Petang semalam diuji Allah dengan sedikit kesakitan agar kita lebih dekat dengan DIA. Betapa ruginya jika di bibir hanya mengeluh kesakitan.
Allahuakbar. Betapa Engkau Maha Pengampun dan sentiasa sayangkan hambaMU ini.
Terima kasih Allah kerana sentiasa mengingatkan ku dan memberi pelajaran baru buat hambaMu yang kerdil ini.
Ketika diri hanya mampu berbaring, bau harum nasi goreng semerbak menyelinap ke ruang tamu. Alhamdulillah Allah berikan minat dan skil taraf pelatih untuk anak bujang saya. Asalkan lepas untuk mereka dua beradik makan, saya sudah sangat bersyukur.
Masakan yang sedap dari air tangan ibu bukan sahaja untuk mengenyangkan perut anak-anak tetapi juga dapat menarik hati anak-anak untuk mengembangkan minat dan bakat. Tidak sangka pula pujian yang saya terima dari angah setiap kali saya hidangkan makanan buat keluarga rupanya membuahkan rasa keinginan di hati angah untuk masak. Saya tahu walau tidak sesedap makanan orang lain tetapi masakan air tangan ibu tetap nombor 1 di hati anak-anak.
Saya mula izinkan angah betul-betul memasak sendiri ketika berumur 12 tahun. Bermula hanya dengan masak nasi menggunakan periuk letrik. Selepas itu goreng telur "scramble" dan lama-kelamaan angah dengan sendirinya sudah ingin mencuba masak menu-menu yang lain.
Angah saya bukan orang yang "lembut" ya. Tetapi minat dia untuk belajar masak bukanlah sehingga menjadi chef terkemuka (hmm tetapi mana tahu kan, jika itu ketentuan Allah). Bagi saya walaupun dia seorang lelaki, dia perlu tahu untuk masak yang asas dan rajin membantu di dapur. Jadi lelaki bukan hanya tahu makanan dihidangkan di depan mata tetapi sama-sama membantu ibu dan kakak memotong bawang, memasak dan mengemas dapur setelah selesai kerja. Barulah dapat ikut sunnah nabi, membantu isteri. Allahuakbar. Masih jauh perjalanan angah tetapi jika tidak diterap dari sekarang, bila lagi.
Sebagai ibu, saya suka jadikan ruang dapur bukan sahaja sebagai tempat memasak tetapi juga sebagai ruang mendidik anak-anak. Saya selalunya banyak bercerita dan berborak dengan anak-anak ketika sedang memasak. Apabila saya mula masuk dapur, kebiasaannya saya akan memanggil anak-anak yang sudah besar supaya membantu. Biarpun setakat hanya memotong bawang. ketika itulah kami akan bercerita tentang keluarga, hal-hal di sekolah, masakan arwah Wan dan Tok mereka. Sambil gelak-gelak dan bergurau. Kadang-kadang mereka bawa ipad dan pasangkan cerita dan kami sama-sama menonton sambil memasak. Alhamdulillah, aktiviti memasak tidak membuat anak-anak stres, walaupun pada asalnya mereka ada aktiviti sendiri yang hendak dilakukan. Si adik juga akan turut sama membawa buku untuk membaca dan menulis.
Bagi mereka yang mempunyai ruang dapur yang kecil, boleh cuba letakkan meja makan di tepi laluan ke dapur atau pintu masuk ke dapur. Dengan itu anak-anak masih boleh berinteraksi dengan kita ketika kita masak. Sambil masak boleh lagi memantau anak-anak membuat kerja sekolah. Anak-anak yang besar juga boleh membuat kerja-kerja menyediakan bahan untuk memasak di ruang itu.
Selalu libatkan anak-anak dalam aktiviti harian, dengan itu mereka akan sentiasa merasa seronok untuk bersama kita walaupun mereka sudah besar. Saya jadi semakin bimbang apabila melihat ada cucu yang sudah dewasa tidak mahu lagi pulang ke kampung bersama ibubapa untuk melawat datuk dan nenek walaupun pada hariraya. Alasan yang diberikan oleh ibubapa, "biasalah mereka sudah besar, dah tak mahu ikut lagi mak bapa berjalan".
Mudah-mudahan anak cucu kita menjadi generasi yang masih seronok untuk pulang menziarah kita apabila kita tua nanti.
No comments:
Post a Comment