Monday, November 25, 2013

Kepercayaan antara teras utama bisnes berkembang

Teks: Aishah Hussein
Foto: Carian Google

Assalamualaikum.

Ketika menghadiri kenduri kahwin di Kedah baru-baru ini, saya sempat singgah di rumah audara kepada en suami.  Suami sudah pun pencen.  Hanya tinggal berdua di rumah, anak-anak dua orang dan sudah berkahwin serta tinggal berjauhan.  Isteri beliau memang seorang suri rumah.

Dalam tahun ini mereka berdua sudah mula membuat bisnes di rumah, bisnes karipap pusing sejuk beku.  Menurut mereka, bisnes ini sebenarnya meraka sudah buat sewaktu mereka muda dahulu tetapi terpaksa berhenti kerana isteri ada masalah kesihatan.  Ketika itu harga karipap hanya 10 sen dan mereka menjual 3 biji dalam satu plastik.  Itu adalah sekitar tahun 80-an.

Kini mereka mula kembali membuat karipap tersebut bagi mengisi masa lapang.  Harga karipap dijual dengan harga 35 sen sebiji dan menurut mereka lagi tempahan selalunya mencecah 80 biji ke 100 biji sekali oder.

Usik suami saya, "bisnes ni kalau buat jual online lagi laku keras".  Kata pasangan itu, mereka tidak mahu meluaskan secara online kerana bimbang tidak dapat menampung dengan oder yang lebih banyak.  Hanya jual di sekitar taman perumahan sahaja.  Promosi juga hanya di sekitar situ sahaja.

Apa yang menarik ialah sokongan dari si suami membantu si isteri di dapur.  Setiap hari si suami akan membantu isteri mengupas kentang secara manual.  Isteri akan membuat kerja-kerja memasak.

Tanya saya, "kenapa tidak upah pembantu? Apabila bisnes semakin maju nanti cepat sikit kerja."

Jawab isteri, (ini saya tulis dalam ayat saya sendiri) "Susah kami nak menjaga mutu dan kualiti produk nanti bila ada pembantu.  Cara mereka isi inti karipap dan mencantum kulit pun sudah tidak menepati kehendak mereka.  Hasilnya nanti karipap tidak jadi cantik seperti yang mereka buat.  Belum masuk bab mengelim tepi karipap. Akhirnya nanti mereka sendiri juga yang akan membuat semua kerja.  Kerja menjadi lagi lambat kerana asyik memantau kerja pembantu."

Sebagai pengeluar produk, memang akan ada sifat susah untuk percaya kepada orang bawahan.  Tetapi jika mahu bisnes berkembang, tugasan harus diberi kepada pembantu atau pekerja.  Ia bukan setakat memberi arahan tetapi mengajar dan memantau sehingga pekerja tersebut sudah boleh berdikari dan membuat tugasan yang menepati piawaian yang kita tetapkan.  Jika kita susah memberi kepercayaan kepada orang bawahan selagi itu juga kita akan hanya menjadi tukang buat.  Semua kerja kita yang buat, dari membeli barang, potong bahan, masak, berkemas dan menghantar tempahan.  Lama-kelamaan kita akan jadi penat dan sampai satu masa kita akan cepat putus asa kerana semua perkara kita yang harus selesaikan.


Sedangkan seorang pengeluar produk boleh berkembang menjadi seorang bos dan mula memikirkan untuk meluaskan pemasaran produk.  Tugas memantau pekerja dan produk sudah boleh diserahkan kepada pembantu yang sudah dilatih mengikut piawaian yang diingini.

Konsep yang sama juga sering berlaku apabila bekerja di pejabat.  Apabila seorang bos tidak mahu mengagihkan tugas kepada orang bawahan, maka sampai bila-bila orang bawahan tidak akan pandai membuat kerja.  Dan selama itu juga lah mereka tidak ada peluang untuk naik menjadi bos.  Dan bos itu juga sampai bila-bila akan membuat semua kerja sedangkan sebagai seorang bos harus bijak melakukan pengagihan tugas di kalangan pekerja bawahan.  Apa yang penting sepatutnya adalah menyiapkan sesuatu projek dalam masa yang ditetapkan. Tetapi kerana terlalu bimbang orang bawahan tidak dapat menjalankan tugas seperti yang dia buat, kerja yang sepatutnya boleh siap cepat menjadi lambat.

Kepercayaan sebenarnya adalah antara teras utama untuk kita kembangkan bisnes.  Niatkan mengajar orang bawahan kerana Allah dan moga dengan ilmu yang kita berikan itu akan meluaskan rezeki kita dan juga rezeki pekerja kita.  Inshaallah.

---------------------------------------------------------------------------------------------

Oder ebook Panduan 44 hari Pantang Tradisional & Moden, hanya RM30 November ini.
PM saya Aishah Hussein atau klik sini untuk pembelian http://buku-online4u.blogspot.com/p/blog-page_12.html


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...