Wednesday, July 10, 2013

Resipi Ramadhan 2013

Teks: Aishah Hussein

Baru beberapa jam kita berpuasa.  Di kaca tv sudah bermacam-macam rancangan tv yang menyiarkan hidangan untuk berbuka.  Kalau suri di rumah boleh menonton dan mencari idea, tetapi bagi yang bekerja, carilah di internet.  Macam-macam resipi boleh jumpa untuk dihidangkan kepada keluarga.  Tidak perlu buat banyak-banyak, cukup 1 resipi 1 hari.

Kalau waktu saya bekerja dahulu, kami dibenarkan pulang pada pukul 4.30pm.  Jika anak-anak diambil oleh en suami, saya terus memecut balik ke rumah untuk memasak dan juga untuk mengerjakan solat asar.  Selalunya apa menu untuk dimasak hari ini sudah difikirkan dari semalam kerana ayam atau ikan perlu diletakkan di bahagian bawah peti sejuk supaya ia sudah siap sedia defrost.

Apa yang saya masak adalah 1 atau 2 resipi dan jika sempat buat kuih sejenis. Selalunya yang mudah-mudah sahaja kerana mengejar masa.  Bergantung kepada keadaan trafik sewaktu pulang ke rumah. 

Bagi saya dan keluarga, setiap kali bulan puasa, resipi arwah mak akan menjadi santapan untuk kami berbuka ataupun bersahur.  Antara yang memang disukai oleh anak-anak untuk berbuka, Bubur Lambuk Mee, Bubur Jagung, Roti Santan, Laksa Pahang, Kerabu Timun, Cekodok Jagung dan tidak lupa Cekodok Kurma.    Antara yang menjadi hit dan akan selalu diulang dalam menu adalah  Cekodok Kurma dan Roti Santan untuk berbuka dan Ikan Goreng Garam untuk sahur.  Setiap kali saya sediakan menu ini, rindu kepada arwah mak datang bertamu.

Kali ini saya ingin berkongsi resipi mudah untuk juadah bersahur.  Jika diiizinkan Allah, saya akan cuba berkongsi 1 resipi 1 hari untuk berbuka atau bersahur. Jika kalian ada resipi boleh kongsikan bersama di sini.  Boleh dimanfaatkan oleh rakan-rakan di sini :)



Resipinya mudah sahaja tetapi saya tuliskan juga untuk tatapan anak-anak, supaya nanti mereka ada rujukan untuk memasak bila saya tiada kelak.

Ikan Goreng Bergaram
Bahan-bahan

Ikan (Ikan yang biasa saya guna Ikan Kerisi, Selar ataupun Selar Kuning)
Garam

Cara-cara:
1. Sebelum tidur malam, lumurkan garam ke seluruh bahgian ikan.  (Guna banyak garam seperti hendak membuat ikan masin)
2.  Esok pagi sebelum menggoreng, basuh ikan tersebut dan toskan.
3.  Goreng ikan sehingga garing.

Ikan ini sedap dimakan waktu sahur bersama sambal belacan dan nasi panas.
Ikan dihidang panas-panas pembuka selera anak-anak untuk bersahur.
Hidangkan teh O suam kurang manis.




2 comments:

  1. arwah nenek saya dl suka goreng cmni, selamat berpuasa kak

    ReplyDelete
    Replies
    1. O ada juga yang suka ya. Terima kasih singgah di blog akak lala yusof. Selamat berpuasa.

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...