Teks: Aishah Hussein
Semalam saya rasa betul-betul penat. Dari hari Isnin ke hulu ke hilir, menghantar dan mengambil anak. Sekarang baru saya tahu tugas seorang suri rumah sepenuh masa(SAHM) ini bukanlah mudah. Walaupun sebenarnya memang kita semua pun sudah maklum tugas seorang SAHM, tetapi bila kita sendiri yang mengharunginya baru kita faham.
Semalam saya betul-betul terasa kepenatannya. Saya terpaksa rehatkan diri saya sebentar selepas Zohor. Dapat lelapkan mata sebentar pun sudah cukup untuk hilangkan rasa penat.
Selama dua hari yang lepas, saya menjadi jururawat kepada kucing jiran yang selalu bertandang ke rumah kami, Hikari (entri lalu: Belaian Jiwa). Pada hari Isnin lalu Hikari asyik batuk teruk. Hidungnya pun dah nampak macam ada hingus. Dia yang selalunya aktif bermain dan mengekor kami, tetapi dua tiga hari lalu dia hanya asyik duduk aje. Nak jalan pun terhoyong-hayang. Makan pun tidak mahu.
Pada hari Rabu, saya dan angah nekad untuk membawa dia ke klinik haiwan berhampiran. Walaupun dia bukan kucing kami, tetapi saya nekad moga usaha saya untuk menyembuhkan dia diberi balasa kebaikan di dunia dan di akhirat oleh Allah.
Foto: vetstreet.com
Tidak pernah dalam hidup saya membawa kucing ke klinik. Walaupun saya memang ada memelihara kucing semasa kecil, tetapi di kampung mana ada klinik haiwan. Kalau kucing sakit pun, tunggu dan lihat ajelah.
Selama dua hari menyuapkan makanan dan ubat ke mulut Hikari, alhamdulillah petang semalam dia sudah boleh makan sendiri. Hari ini dia sudah mula mengekori kami ke sana sini. Syukur. Terima kasih Allah Maha Penyembuh.
No comments:
Post a Comment