Thursday, April 18, 2013

Temuramah Selebriti

Teks: Aishah Hussein
Foto: Koleksi PTS dan koleksi sendiri

Jumaat lepas, saya telah berpeluang untuk menemuramah secara offline seorang selebriti yang sedang naik namanya.  Ketika saya baru sahaja melabuhkan mula duduk di sebelah beliau, yang terkeluar dari mulutnya adalah "saya bukan seorang chef".   Sedangkan sudah banyak terpampang di kulit buku-bukunya perkataan Chef Hanieliza.  Ya, itulah gerangan selebriti yang saya temui minggu lepas.


Saya sebenarnya sudah lama mengenali beliau dari jauh.  Walaupun saya tidak pernah bersua muka dan bertegur sapa, tetapi saya adalah, bak kata orang sekarang, "follower" beliau sejak dia aktif di forum cari.com.  Banyak lah resipi dan tips yang beliau kongsi di forum tersebut yang menjadi panduan buat ahli forum bahagian Makanan dan Resipi.  Ini adalah di sekitar tahun 2003.

Saya memang sangat teruja untuk bertemu dengan beliau.  Ketika saya menghubungi beliau untuk temuramah online, beliau memang terus bersetuju untuk bekerjasama.  Ketika itu juga beliau menyatakan akan berada di Kuala Lumpur, jadi dia mencadangkan saya untuk terus berjumpa beliau di rumah anaknya.

Pucuk dicita ulam mendatang.  Siapa sangka saya dapat berjumpa dengan Kak Liza (gelaran kepada beliau di forum cari) secara bersemuka.

Sedikit sejarah tentang beliau.

Beliau bermula hanya sebagai seorang suri rumah sepenuh masa.  Tidak pernah terfikir oleh beliau akan menerbitkan buku-buku resipi seperti sekarang.  Siapa sangka, niat ikhlas beliau hanya untuk berkongsi resipi dengan sahabat-sahabat di forum telah bertukar menjadi pendapatan buat beliau sekarang.

Beliau memang tidak pernah bekerja.  Tugas beliau hanya memasak dan menjaga anak-anak sepenuh masa.  Bila ada masa lapang, beliau akan melayari forum seperti forum cari dan melayu.com.  Di situlah beliau berkongsi resipi yang beliau masak untuk keluarga.  Setiap resipi baru yang dicuba akan dikongsikan di forum.  Selepas itu dia membina fotopages dan semua koleksi resipi ini dimuatkan di sini.  Sehingga sekarang laman fotopages tersebut masih wujud dan aktif.

Ketika saya berjumpa dengan beliau, saya cukup dapat rasakan jiwa keibuan yang hadir dalam dirinya.  Setiap apa yang dia tuturkan semuanya berbalik kepada keluarganya.  Semua pengorbanan beliau untuk memasak dan menghidang makanan untuk keluarga telah diganti oleh Allah dengan rezeki yang lebih berlipat kali ganda.  Antara koleksi buku resipi Kak Liza adalah:













Memang saya cukup kagum dengan semangat beliau.  Walaupun sudah bercucu beliau masih lagi aktif mengadakan kelas-kelas memasak di kolej-kolej.  Kadang-kadang datang ke Kuala Lumpur untuk mengadakan demo bersama penerbit buku atau pun rancangan masakan di TV.

Dan kini beliau sibuk mempromosikan koleksi buku beliau yang paling laris di pasaran, 1 hari 1 Resipi, 365 Resipi Istimewa Chef Hanieliza.  Buku ini memang antara buku yang terlaris di mana jualannya sudah mencecah hingga lebih 100,000 naskah.  Buku ini hanya boleh didapati di kedai buku Popular.


Kini beliau tampil dengan koleksi buku baru beliau iaitu siri Resipi Warisan.  Buku ini menampilkan resipi turun-temurun dan sesuai untuk kaum hawa yang mahukan kelainan untuk hidangan keluarga.

Harapan dan matlamat beliau sekarang adalah  menghasilkan buku resipi yang ringkas dan mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat, terutama mereka yang baru mula belajar masak. 

Semalam, beliau telah menghantar pesanan whatsapp kepada saya, bahawa beliau akan muncul di TV Hijrah dalam Segmen Soal Wanita jam 12-1 petang, 20 April 2013.  Nantikan kemunculannya di TV Hijrah.


~ Catatan Harian 18.04.13

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...