Teks: Aishah Hussein
Foto: satuharisatusunnah
Jika di dalam entri Mencari RedhaMu saya menceritakan kisah teman rapat saya yang mengidap kanser.
Pada Disember 2012, dikhabarkan berita sedih tentang pengasuh anak-anak yang didiagnos dengan penyakit kanser rahim tahap 3. Kak Nor juga seorang yang tabah, begitu redha menerima berita dari doktor.
Setelah dua tiga kali berdepan dengan berita sebegini, apa yang saya boleh katakan kepada dia ialah saya hanya mampu berdoa. Perkataan sabar tidak begitu sesuai untuk saya keluarkan kerana saya tahu orang yang baru sahaja diuji tidak akan dapat menerima perkataan tersebut.
Petang-petang dikala saya menuggu anak pulang, saya akan berborak dengan dia. Masih mampu bercerita tentang bangun malam bertahajjud, tentang keluarga seperti yang biasa kami lakukan bila ada kelapangan di waktu petang.
Pada hujung bulan Januari, selesai pembedahan pembuangan rahim, rupanya kanser tersebut telah melarat ke sebbahagian usus. Dan kanser tersebut sudah mencapai tahap 4.
Kali terakhir saya berjumpa dia di hospital, dua hari selepas pembedahan. Alhamdulillah, walaupun suara tidak begitu kedengaran tetapi dia kelihatan kuat. Selama 2 minggu, saya tidak berjumpa dia, tidak mahu mengganggu dia berehat.
Siapa sangka malam 14 Februari 2013, saya mendapat panggilan dari seorang sahabat yang juga pernah menghantar anaknya ke rumah kakak pengasuh. Beliau mengkhabarkan berita bahawa Kak Nor telah meninggal dunia.
Kami memang sangat terkejut kerana menyangka Kak Nor sudah sihat. Menurut anak saudaranya, beliau meninggal selepas sehari menjalani kimoterapi. Menurut kata doktor, dia bukan meninggal kerana rawatan kimo tersebut tetapi kerana serangan sakit jantung akibat stres. Tetapi semua itu adalah penyebab sahaja kerana ajal maut itu sudah ditentukan oleh Allah.
Saya kehilangan seorang pengasuh, seorang sahabat dan juga seorang kakak. Jasa beliau terlalu banyak dan tidak mungkin terbalas oleh saya dan keluarga. Mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat oleh Allah.
No comments:
Post a Comment